INDERA Band tampilkan kelainan berkolaborasi dengan Hunny Madu.
INDERA Band tampilkan kelainan berkolaborasi dengan Hunny Madu.
Georgie Joseph


Bagi memikat pelbagai lapisan pendengar terutama golongan urban, Indera Band mempertaruh strategi untuk lagu terbaru mereka berjudul Sudah.

Dianggotai Lians Aziz sebagai penyanyi, Aalan Ahmad (gitar) dan Saiful Nizam (dram), mereka memilih bekerjasama dengan penyanyi rap Hunny Madu, sekali gus menjadikan lagu berkenaan berbeza.

Tujuan utama Indera Band yang mempertaruhkan genre rock balada melakukan kerjasama itu ialah kerana mahu menampilkan kelainan.

“Kami mahu menjadi band pertama dikenali dengan lagu sebegitu dengan menampilkan rap daripada seorang penya­nyi wanita. Tambahan pula, kami tertarik de­ngan Hunny yang memang berkaliber sebagai penyanyi rap.

“Ternyata hasilnya begitu memuaskan dan kami senang sekali bekerjasama dengannya. Lebih memuaskan hati, dia berjaya menjadikan ‘feel’ lagu itu lebih menarik dan urban.

“Sesuailah dengan matlamat kami mahu menarik pelbagai lapisan pendengar terhadap lagu kami. Dengan penampilannya itu, kami berharap ia akan memberi kelebihan bagi memikat pendengar urban pula,” kata Aalan.

Sejarah penubuhan Indera Band sememangnya sangat menarik. Walaupun Indera Band baru, namun Aalan dan Saiful adalah orang lama dalam industri muzik tempatan.

Aalan adalah bekas anggota band pop rock popular era 1990-an iaitu Sweet Child,manakala Saiful adalah bekas pemain dram Umbrella.

Aalan berkata, Indera Band aktif sejak 2015 dan mereka kini mahu membawa angin baru dalam industri muzik tempatan.

“Misi kami adalah memperjuangkan muzik yang pernah kami lakukan sebelum ini dengan cara sendiri. Dengan wujudnya keserasian itu, kami pun putuskan untuk tubuhkan band baru.

“Sehingga kini minat kami menulis lagu masih mendalam dan aktif dengan aktiviti itu. Jadi kami gunakan sepenuhnya kelebihan itu untuk kelangsungan Indera Band,” katanya.

Dalam pada itu, mereka juga gembira apabila dapat menampilkan Lians sebagai penyanyi yang menepati ciri-ciri dicari.

Berasal dari Indonesia, mereka memilihnya berdasar nyanyiannya yang unik dan serasi dengan corak muzik dipertaruhkan Indera Band.

“Lians memang sudah lama menyanyi namun bukanlah sebagai penyanyi komersial. Bagaimanapun, dia memiliki keunikan tersendiri pada vokalnya, sekali gus membuatkan kami tertarik mengambilnya.

“Dia pun sudah menetap di Malaysia memandangkan isterinya pun orang sini. Jadi, pergerakan kami jadi lebih senang,” katanya.

Lagu Sudah adalah ciptaan Aalan dan lirik oleh Aalan, Liana Azia, Saiful dan Hunny Madu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 2:47 AM