PERSEMBAHAN pembukaan dari Ayda Jebat, Budak Joget dan Altimet.
PERSEMBAHAN medley Haqiem Rusli dab Ismail Izzani.
SHEILA memberikan ucapan selepas Dekatkan Jarak Kita diumumkan memenangi kategori Drama Pilihan.
Ramlah Zainal


Watak Harris lakonan Zul Ariffin dalam drama Titian Cinta ternyata memberi impak mendalam buat penonton apabila diangkat sebagai pemenang kategori Aktor Pilihan dalam Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2018 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam kelmarin.

Populariti hebat drama arahan Heykal Hanifah untuk Slot Akasia TV3 itu turut menjadi pilihan peminat apabila memenangi tiga lagi kategori iaitu Pengarah Pilihan, Penulis Skrip Pilihan (Farhana Fauri) dan Lagu Pilihan (Sumpah Cintaku).

Zul ketika ditemui berkata, kemenangannya bukan hasil kerja kerasnya seorang, sebaliknya membabitkan kerjasama pasukan produksi drama itu.

“Alhamdulillah, saya hadir pada malam ini untuk mewakili drama Titian Cinta. Kejayaan drama ini membabitkan semua aspek iaitu skrip, pengarahan, pelakon dan pasukan produksi yang merealisasikannya hingga berjaya menawan hati penonton,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan Heykal, Zul berkata, itu kali pertama mereka bekerjasama dalam drama.

“Sebenarnya, sudah dua kali Heykal menawarkan saya berlakon di bawah arahannya sebelum ini. Saya terima tawaran untuk berlakon dalam Titian Cinta kerana pengarahnya Heykal kerana belum pernah bekerja dengannya.

“Sebagai pelakon berpengalaman, saya mahukan sesuatu naskhah yang ada kelainan. Saya tidak mahu drama yang selepas ditayangkan di kaca televisyen orang terus lupa,” katanya.

Zul juga menanti peluang bekerjasama dengan Heykal lagi selepas ini.

“Saya mahu terbabit dengan projek dan naskhah yang bagus lagi. Maklumlah, ramai pendatang baru ketika ini dan saya perlu tampilkan lakonan yang lebih bagus daripada mereka,” katanya.

Mengulas mengenai kekalahan Farah Nabilah yang juga heroinnya dalam drama Titian Cinta, Zul berkata, ia adalah adat dalam mana-mana pertandingan dan anugerah.

“Farah juga menampilkan lakonan yang baik untuk watak Aisy dalam Titian Cinta. Namun, sebagai pelakon, kita perlu akur dengan pilihan dan keputusan peminat kerana mereka yang mengundi,” katanya.

Drama Titian Cinta turut menampilkan barisan pelakon seperti Daler Yusof, Tisha Shamsir dan Marisa Yasmin.

Farah juga tewas pada Janna Nick bagi kategori Aktres Pilihan menerusi drama Biar Aku Jadi Penunggu.

Janna tak mahu menang kerana popular

Janna Nick tidak menyangka memenangi kategori Aktres Pilihan menerusi lakonannya dalam drama Biar Aku Jadi Penunggu itu.

“Saya juga menjangkakan Farah Nabilah akan memenangi kategori itu kerana populariti drama Titian Cinta yang memberikan saingan sengit.

“Bukan saja Titian Cinta, drama lain yang dipertandingkan juga beri saingan sengit. Drama lakonan saya itu juga sambutannya tidak sehebat Titian Cinta sebelum ini.

“Saya juga reda jika Farah yang menang tetapi tidak sangka kategori Aktres Pilihan menjadi milik saya,” katanya.

Menurut Janna, kemenangannya juga berkat kerja keras peminatnya.

“Ini kali kedua saya menang dalam DFKL. Bukan mudah untuk mempertahankan kategori ini kerana saingan sengit.

“Kemenangan pada DFKL cukup bermakna kerana ia anugerah pertama saya dalam bidang seni tanah air,” katanya.

Janna berkata, kemenangan itu juga menyuntik semangat buatnya untuk terus memberikan yang terbaik dalam lakonan.

“Saya tidak mahu menang kerana populariti semata-mata sebaliknya ingin peminat menyokong kerana lakonan yang bagus dan berkualiti. Saya juga berharap dapat menarik peminat baru pula selepas ini,” katanya.

Pada masa sama, kata Janna, dia yakin mampu memberikan yang lebih baik dalam meningkatkan prestasi lakonannya.

“Saya sangat mengambil berat setiap naskhah diserahkan tapi akur penulisan skrip dan karya sangat terhad di sini dan ia lebih kurang sama saja.

“Sebagai pelakon, saya akan berusaha berikan yang terbaik walaupun skrip yang ada biasa saja dan tidak mencabar lakonan,” katanya.

Dekatkan Jarak Kita unggul di DFKL 2018

Malam kemuncak DFKL 2018 turut menobatkan drama Dekatkan Jarak Kita terbitan JS Pictures Sdn Bhd seperti jangkaan ramai.

Kemenangan drama arahan pasangan suami isteri, Azman Yahya (Jinggo) dan penerbitnya, Sheila Rusly itu sekali gus mengetepikan drama popular Titian Cinta.

Drama Dekatkan Jarak Kita turut memenangi satu lagi kategori iaitu Pasangan Pilihan menerusi gandingan serasi Syafiq Kyle dan Ayda Jebat.

Selain itu, kategori Antagonis Pilihan pula menjadi milik Shukri Yahaya menerusi drama Andainya Takdir.

Beberapa kategori lain yang tidak pulang dengan tangan kosong ialah Drama Pilihan Tonton VIP iaitu Zahir Tak Terucap (Zamriez Golden Pictures Sdn Bhd), Drama Radio Pilihan iaitu Bukan Cinta Biasa lakonan Nad Zainal dan Zulhuzaimy (Kool FM) dan Drama Pendek Pilihan dimenangi Siti Saleha Musiran (Manikam Dalam Lipatan).

Tidak lengkap penganjuran malam kemuncak DFKL2018 tanpa segmen persembahan hebat daripada barisan artis popular tanah air untuk memeriahkan lagi acara.

Pastinya, penonton turut terhibur dengan persembahan menarik barisan artis seperti Ayda Jebat bekerjasama dengan Budak Joget dan Altmet, Ernie Zakrie, Haqiem Rusli, Ismail Izzani, Datin Diana Danielle, Janna Nick, Siti Sarah, Syamel dan Azlan & The Typewriter.

Pemenang DFKL 2018 juga berdasarkan undian 100 peratus peminat menerusi dalam talian dan setiap pemenang membawa pulang trofi sumbangan TV3.

Anugerah DFKL 2018 yang menampilkan gandingan serasi pengacara Nabila Huda dan Ajak Shiro juga disiarkan secara langsung di TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 3:11 AM