NELYDIA jamin uar-uarkan andai ada berita gembira selepas ini.
NELYDIA jamin uar-uarkan andai ada berita gembira selepas ini.
Najiy Jefri


Kisah percintaan pelakon jelita Nelydia Senrose dengan jejaka bernama Hafiz bukan lagi rahsia.

Buktinya, adik kepada pelakon Uqasha Senrose ini mengaku gambar cincin yang dimuat naik di Instagram, baru-baru ini adalah pemberian jejaka terbabit.

Nelydia berkata, dia sudah bersedia mengakhiri zaman bujangnya, namun masih menunggu tarikh dan masa yang terbaik untuk disatukan.

“Sebagai wanita, saya sudah bersedia untuk menempuh alam rumah tangga kerana mengambil serius soal perhubungan ini.

“Cuma saya perlu tunggu masa sesuai dan pastikan dia adalah jodoh terbaik,” katanya.

Ditanya mengenai status lelaki berkenaan yang didakwa bergelar jutawan, Nelydia enggan mengulas.

“Tidak pernah pula saya periksa akaun banknya. Apa yang saya tahu, dia ahli perniagaan yang berasal dari pantai timur tetapi dibesarkan di Kuala Lumpur,” katanya.

Nelydia berkata, dia mengenali Hafiz menerusi seorang rakan, namun menafikan mengenali lelaki itu daripada bekas suami Fasha Sandha, Jejai seperti didakwa.

“Kami berkenalan belum sampai setahun. Saya harap semua pihak doakan yang baik-baik. Kalau boleh saya mengharapkan hubungan ini berkekalan dan berjalan dengan sempurna,” katanya.

Menyifatkan dirinya kini melalui fasa bahagia, Nelydia secara profesional juga akan memberitahu rakan media dan peminat andai dia melangkah ke fasa yang lebih serius selepas ini.

“Tidak ada rahsia seandainya masa saya sudah tiba. Saya akan kongsikan berita gembira ini kepada semua nanti. Cuma buat masa ini, tiada apa yang boleh saya kongsikan,”katanya ketika ditemui pada majlis pertunjukkan fesyen Starvilion di Royale Palace, Shah Alam, baru-baru ini.

Bercerita mengenai penglibatannya pada majlis berkenaan, Nelydia berkata, dia kini muncul dengan busana untuk Aidilfitri di bawah jenama Impian By Nelydia.

Apa yang menarik, pelakon berusia 23 tahun ini memilih songket untuk rekaan baju raya dengan konsep minimalis dan ringkas selain menonjolkan elemen klasik serta mengekalkan ciri budaya Melayu.

Menurutnya, koleksi pakaian Aidilfitri muncul selepas mendapat tawaran daripada Starvilion pada Mac lalu.

“Setiap koleksi dipilih mengikut cita rasa dan pilihan peribadi. Saya bebas menentukan corak dan warna sendiri,” katanya.

Syukur terus diberi kepercayaan

Bercerita mengenai kerjaya lakonan, Nelydia berkata, dia bersyukur namanya terus diberi kepercayaan menggalas watak utama walaupun dibayangi kemunculan ramai pelakon baru.

Katanya, kehadiran ramai pelakon baru memberi aura baru dalam bidang lakonan tempatan.

“Jika dulu pelakon perlu bekerja keras untuk membuktikan bakat yang mereka miliki, tapi sekarang banyak platform boleh dilakukan untuk menaikkan nama.

“Saya harap mereka tidak mengambil mudah setiap peluang yang ditawarkan, sebaliknya sentiasa berusaha dan menghayati watak diberikan.

“Jangan sia-siakan peluang yang diberikan kerana sebelum ini pelakon baru tidak mudah ditawarkan watak hero dan heroin,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nelydia kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri 100 episod iaitu Cinta Tiada Ganti yang diadaptasi menerusi drama popular Filipina, Sanay Wala Nang Wakas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 3:57 AM