MILLER Khan.
MILLER Khan.
Sudirman Mohd Tahir

Jika tahun lalu dia muncul dalam video kempen tudung Neelofa, tahun ini jejaka kelahiran Johor Bahru yang mencipta nama di persada seni Indonesia, Miller Khan tampil dalam drama pendek Inspirasi Cinta terbitan sebuah majalah tempatan.

Pembabitan Miller atau Mohammad Suhaemi Ali Dad Khan, 31, dalam karya itu seolah-olah memberi bayangan dia bakal pulang ke tanah air dan meneruskan karier lakonan di sini.

Namun, Miller yang popular menerusi drama bersiri panjang seperti Anugerah, Kau Bukan Anakku, Separuh Aku dan Kau Yang Berasal Dari Bintang yang pernah ditayangkan di stesen TV tempatan berkata, belum sampai masa untuk dia berbuat demikian.

Halangan utama tidak lain tidak bukan tatu di badannya. Dia tidak mahu bersikap pentingkan diri dengan menyusahkan pihak produksi menutup tatu itu atau membenarkannya memakai baju lengan panjang dalam setiap babak.

“Tidak mungkin saya boleh hilangkan semua tatu ini sebab terlalu banyak. Saya pernah cuba buang menggunakan ‘laser’ tetapi sakit selain kos mahal. Jadi, saya biarkan saja. Kalau pada masa akan datang ada teknologi yang lebih canggih dan tidak menyakitkan, saya akan buat.

“Tawaran berlakon di Malaysia sentiasa ada. Namun, saya menolak secara baik kerana masalah tatu. Ketika terbabit dalam penggambaran mini siri Inspirasi Cinta pun, saya memakai baju lengan panjang. Malah, ada beberapa bahagian mereka terpaksa tutup dengan solekan.

“Keadaan itu membuatkan saya tidak selesa. Kasihan kru. Pada masa sama, saya fikir tak logik jika semua babak kena berlengan panjang,” katanya.

Pun begitu, Miller masih boleh pertimbangkan perkara itu asalkan karya yang ditawarkan berkualiti.

“Buat masa sekarang, saya buat sikit-sikit dahulu bermula dengan kempen dan siri mini. Dalam setahun buat dua kali pun okey.

“Apa yang penting penonton di Malaysia terutama masyarakat Melayu boleh terima. Biarpun ada pro dan kontra, saya cuba untuk cari waktu sesuai,” katanya.

Puas berlakon filem

Selepas 12 tahun terbabit dalam sinetron atau drama bersiri panjang, Miller yang pernah muncul dalam filem Bukan Bintang Biasa pada 2009 mengambil keputusan untuk beralih angin.

Drama Syurga Yang Kedua membabitkan 280 episod adalah karya terakhir lakonannya sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada dunia sinetron.

Kini, Miller yang berhijrah ke Indonesia sejak berusia 19 tahun ingin fokus pada filem dan mengakui cabang baru itu memberikan kepuasan serta keseronokan berganda.

“Bermula tahun ini saya mahu fokus pada filem saja. Sudah lama saya menjayakan sinetron, jadi cukup dulu. Bagi peluang kepada pelakon baru pula. Sebagai pelakon, saya mahu pergi lebih jauh. Saya juga mahu berjaya seperti kebanyakan aktor lain dan tercalon dalam kategori filem.

“Bukan berlakon sinetron tak bagus tetapi saya mahukan pembaharuan. Lagipun, saya sudah penat hingga terkena penyakit Hepatitis A. Namun, disebabkan komitmen dalam sinetron Syurga Yang Kedua, saya kena juga buat. Kru datang ke rumah untuk mendapatkan shot saya,” katanya.

Namun, Miller yang kini muncul dalam filem Assalamualaikum Calon Imam mengakui tawaran untuknya tidak pernah putus. Malah, peminat juga sentiasa bertanya mengenai lakonan terbaru di kaca TV.

Sepanjang tahun ini, Miller bakal muncul dalam filem InsyaAllah Sah 2 yang bakal ditayangkan awal Jun, Rasuk (28 Jun) dan enam filem lain.

Berkongsi mengenai aktiviti sepanjang Ramadan, Miller berkata, dia meneruskan aktiviti seni seperti biasa.

Bagi mengekalkan tenaga sepanjang hari, Miller mengamalkan makan karbohidrat kompleks seperti roti, gandum, oatmeal, protein dan buah-buahan berair.

“Selain pemakanan, saya bersenam selama sejam sebelum berbuka puasa. Jadi, ketika berbuka saya terus minum air,” katanya.

Sama seperti kebanyakan orang lain, Miller juga ada kisah nakal iaitu ponteng puasa ketika zaman kanak-kanak.

“Sewaktu kecil dulu selalu ponteng puasa. Malah, menginjak usia remaja pun, saya pernah tidak berpuasa.

“Saya bersama rakan pernah membeli burger dan makan dalam kereta. Orang kata zaman nakal. Ini semua kenangan yang tidak boleh dilupakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 4:45 AM