LEBIH 45,000 individu cacat penglihatan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Gambar kecil, Silatul Rahim Dahman. FOTO Izhari Ariffin & Nik Hariff Hassan
Mahaizura Abd Malik


Malaysia mempunyai kira-kira sepuluh peratus orang kurang upaya (OKU). Daripada jumlah itu lebih 45,000 adalah individu cacat penglihatan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Biarpun pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya OKU dapat menjalani kehidupan baik seperti orang normal namun golongan ini masih berasa seperti terpinggir.

Sempena pembentukan kerajaan baharu, golongan ini mempunyai harapan supaya kekurangan mereka tidak lagi diperlekehkan dan menjadi satu beban sebaliknya mereka mahu menjadi sebahagian daripada barisan penggerak dan penyumbang kemajuan negara.

Bagi menyelami lebih lanjut kesulitan dialami golongan kurang bernasib baik terutama OKU penglihatan, wartawan MAHAIZURA ABD MALIK mendapatkan pandangan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Orang Buta Malaysia (MFB) Silatul Rahim Dahman.

Boleh terangkan peranan dan fungsi Yayasan Orang Buta Malaysia (MFB)?

MFB ditubuhkan pada 2013 oleh sekumpulan sukarelawan yang terdiri daripada ahli pemegang amanah OKU dan bukan OKU untuk memperjuangkan hak dan kepentingan OKU penglihatan khususnya di Malaysia dan mungkin di rantau ini.

Fokus kami untuk membangunkan teknologi khas menggunakan Braille dan teknologi bersuara sebagai alat sokongan dalam hidup orang buta. Kalau kita bercakap dengan mana-mana OKU penglihatan dalam dunia ini mereka akan bangkitkan tiga masalah utama.

Pertama masalah pergerakan atau mobiliti kerana tidak dapat melihat mereka sukar bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi. Kedua, masalah mendapat peluang pekerjaan bersesuaian dengan kelulusan akademik dan kemampuan fizikal mereka.

Ketiga ialah masalah mengakses informasi atau mencapai maklumat. Kebanyakan maklumat sekarang dalam bentuk digital dan elektronik, jadi dengan adanya alat bantuan khas bersuara atau menggunakan Braille maka sedikit sebanyak dapat membantu mereka dalam sektor akademik dan pekerjaan.

Teknologi canggih ini boleh membuatkan OKU seperti kami membaca Internet tanpa melihat skrin, tetikus tetapi boleh mendengar apa yang dikatakan. Jadi kami bebas mengakses maklumat termasuk Harian Metro pun kami boleh baca sendiri. Itulah fokus utama yayasan ini.

Apa yang sudah dilaksanakan setakat ini?

Kami banyak melaksanakan program kesedaran awam dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), swasta (IPTS), sekolah dan organisasi komuniti untuk memberi kesedaran tentang keperluan dan cabaran yang sering dihadapi OKU penglihatan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan di Malaysia terdapat 10 peratus rakyatnya adalah OKU. Itu satu angka besar.

Orang buta saja yang berdaftar di JKM ialah 45,000 orang. Jadi kalau pihak berkuasa tempatan (PBT), pemerintah, penggubal dasar, pemimpin komuniti, ibu bapa, guru dan orang awam tidak sedar tentang keperluan dan cabaran yang mereka hadapi maka mereka ini akan terus terpinggir dan terus menjadi beban kepada negara.

Kita bercakap ini sebab kita hendak memperkasakan golongan ini menjadi rakyat yang ada jati diri, berdaya saing dan produktif supaya boleh menjadi aset kepada negara...bukan beban.

Kalau kita lihat realiti sekarang ramai daripada mereka perlukan bantuan kewangan kerajaan dipanggil elaun pekerja cacat, elaun bulanan dan pelbagai elaun disediakan JKM.

Bayangkan jika semua empat juta golongan ini memohon bantuan berkenaan dan layak menerima RM500 bermakna RM2 bilion sebulan perlu diagihkan kerajaan kepada mereka, tetapi kalau kita tengok cara lain cuba kita perkasakan mereka.

Mereka boleh jadi produktif menghasilkan RM500 sebulan tadi dan boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi bukan saja negara, malah dunia.

Tetapi apa yang penting mereka perlu diperkasakan, dilengkapi kemudahan, kebolehan dan kemahiran sesuai dengan ketidakupayaan mereka terlebih dahulu.

Lazimnya apabila melihat OKU, kita lebih fokus kepada ketidakupayaannya. Sudah sampai masanya kena fokus psikologi kita apakah keupayaan yang ada pada diri OKU bukan ketidakupayaan yang ada pada mereka kerana ia berbentuk kekal.

Tidak mungkin kebutaan saya ini boleh dirawati, kalau boleh sudah lama saya buat.

Jadi kita jangan persoalkan tentang ketidakupayaan saya kerana ia kekal dan bukan pilihan saya, ibu bapa, guru, kerajaan untuk membutakan saya kerana ia terjadi sejak azali kerana qada dan qadar.

Jadi jelasnya kita kena bercakap apa program, kemudahan, peranan boleh dilakukan di peringkat tertinggi hingga rendah termasuk ahli keluarga bagaimana mereka boleh membantu bangunkan kumpulan OKU ini untuk menjadi lebih produktiviti dan penyumbang kepada pembangunan negara.

Seterusnya kita tak boleh lari dari program sahsiah diri dan program berkaitan fardu ain dan fardu kifayah yang menyentuh soal keagamaan. Salah satunya kita buat program Program Umrah Abdullah Ibnu Maktum mencari penaja membiayai OKU penglihatan menunaikan umrah secara percuma siap dengan pengiring khas.

Selain itu, kita banyak mengeluarkan bahan bacaan agama dalam bentuk Braille dan audio seperti al-Quran, muqadam dan buku fardu ain yang tidak boleh dibeli di mana-mana kedai buku dengan mudah...tak ada jual. 

Jadi, perlu ada pertubuhan macam kami ini yang mengambil cabaran mencari sumber pendapatan terhad mengeluarkan bahan bacaan Braille. Membaca al-Quran adalah fardu ain begitu juga dengan sembahyang tidak ada hukum mengatakan jika jadi buta tak wajib sembahyang, malah tidak ada dalil mengatakan bila buta tak perlu belajar al-Quran.

Suka saya hendak sebutkan kami banyak bergantung kepada sumbangan awam, geran kerajaan, dermawan untuk menyumbang kerana perkhidmatan dan produk kami bukan berbentuk komersial dan tidak berorientasikan keuntungan.

Kami pun banyak bekerjasama dengan JKM, Jabatan Pembangunan OKU, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pengangkutan, PBT serta kerajaan negeri.

 

Apa masalah utama orang buta di Malaysia?

Masalahnya kompleks dan berperingkat-peringkat. Di peringkat pendidikan awal jumlah sekolah pendidikan khas masih teramat kurang. Sepanjang pengetahuan saya untuk orang buta saja hanya ada di Bukit Mertajam, Johor Bahru dan satu lagi di Kuala Lumpur mungkin ada satu dua di Sabah dan Sarawak.

Yang lain-lainnya sekolah jika ada pun untuk OKU penglihatan adalah sekolah bersifat integrasi atau inklusif yang mana pelajar buta belajar bersama pelajar normal di sekolah sama. Itu salah satu pendekatan baik, tetapi menjadi kebimbangan kami kerana tak semua murid buta itu mempunyai keupayaan belajar sama taraf.

Ada yang boleh bersaing dengan pelajar normal yang tidak boleh itu akan tercicir dari persekolahan dan menjadi mangsa keadaan.

Jadi kita perlu perbanyakkan lagi sekolah pendidikan khas kalau boleh di setiap zon ada satu sekolah selebihnya mungkin kita boleh fokuskan program integrasi.

Kedua, saya rasa masalah inklusif. Secara keseluruhan budaya masyarakat kita tidak bersifat inklusif sepenuhnya. Sebagai contoh, apabila kita berada di tempat awam untuk melintas jalan, ramai yang melihat kita cuba hendak melintas, tetapi tidak ramai membantu.

Apabila kita berjalan ke arah longkang dan lubang, ramai melihat kita akan jatuh longkang bukan hendak tolong, tetapi dia panggil kawan-kawan dia. Apabila kita jatuh, dia cakap ‘oh sudah jatuh’. Itu sikap yang bodoh.

Sikap tidak terpuji langsung sebab benda-benda macam itu tidak perlu kita pergi sekolah, ceramah atau kempen khas tetapi boleh guna akal fikiran yang waras. Kalau orang dengar apa yang saya cakap ini, orang kata emosional lah, tetapi kita yang menjadi mangsa.

Saya pernah jatuh longkang dan cuti sakit dua minggu kerana dibantu orang mabuk untuk melintas jalan. Tetapi disebabkan dia dalam keadaan mabuk saya tak boleh salahkan dia, tetapi orang lain yang melihat dia membawa saya ke arah longkang itu patut bertindak lebih awal.

Adakah tuan rasa masyarakat kita masih kurang peka dengan golongan ini?

Orang kita cuma kurang pendedahan dan kesedaran. Saya pernah bekerja di 15 negara sepanjang kerjaya saya dalam bidang NGO ini, tetapi di penghujung hari saya kena buat keputusan hendak terus tinggal di sana atau balik Malaysia.

Saya buat keputusan balik Malaysia sebab Malaysia khususnya Kuala Lumpur adalah tempat paling selamat untuk OKU tinggal di rantau Asia ini.

Sebab adanya polisi kerajaan yang tidak menyisihkan OKU. Baik dari segi pendidikan bersifat inklusif, peluang pekerjaan yang disediakan kerajaan sebanyak satu peratus dalam sektor awam. Itu belum lagi bantuan kebajikan dalam bentuk elaun bulanan kepada OKU yang berpendapatan kurang RM1,200 sebulan.

Banyak lagi seperti persekitaran mesra OKU, di bandar adanya sistem pengangkutan yang mengambil kira keperluan OKU semakin diambil berat berbanding beberapa dekad lalu.

Kedua saya merasa selamat adanya akta yang diluluskan pada 2008 untuk melindungi kepentingan dan hak-hak OKU di sisi undang-undang. Ini penting kerana akta ini mewajibkan sektor pendidikan, pekerjaan, sosial ekonomi dan kemudahan infrastruktur dan sistem maklumat mestilah boleh dicapai oleh kumpulan OKU khususnya orang buta, pendengaran dan fizikal. 

Jadi apa peranan yang boleh dilakukan masyarakat luar untuk membantu pembangunan orang buta?

Saya rasa kita kena perbanyakkan program di media massa, televisyen, radio dan surat khabar kena ada kolum khas kesedaran umum tentang OKU.

Kita boleh ada kolum sukan, politik, hiburan tetapi mengapa tiada satu pun kolum untuk OKU. Adakah sebab OKU itu tidak produktif, tidak menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan politik tetapi jika ya maka tidak ada kemudahan mencukupi lah sepertimana saya sebut awal tadi.

Tetapi alhamdulillah dengan adanya media sosial seperti Facebook (FB), Twitter, blog, WhatsApp dan Instagram (IG) kami mengguna pakai sepenuhnya medium ini untuk mempromosikan keperluan dan cabaran kami.

Maaf kata, 20 hingga 30 tahun lalu agak sukar badan OKU dan NGO seperti kami ini mendapat liputan akhbar tempatan kerana perlu ada sidang media khas. Tetapi alhamdulillah ada media massa dalam Malaysia ini walaupun sekali dalam 10 tahun pun adalah juga. Saya berterima kasih kepada yang ada menjenguk kami.

Harapan tuan sempena pembentukan kerajaan baharu?

Tahniah diucapkan dan saya berbangga kerana tertubuhnya satu kombinasi parti politik baru dalam satu gagasan Pakatan Harapan.

Harapan saya MFB akan dipilih untuk mencalonkan seorang senator OKU ke Parlimen dan dilantik berada dalam barisan Kabinet. Setidak-tidaknya sebagai Timbalan Menteri yang berkaitan atau difikirkan sesuai.

Saya berharap dengan pelantikan OKU ini maka beliau boleh bertindak sebagai penasihat untuk isu OKU berkaitan aksesibiliti, inklusif ataupun masyarakat inklusif, jurang perbezaan taraf hidup antara masyarakat biasa dan OKU di Malaysia.

Seterusnya boleh membuktikan kepada dunia luar bahawa kerajaan baharu ini benar-benar bersifat inklusif dan penyayang dengan tidak meminggirkan kumpulan terpinggir bukan saja OKU sepertimana yang mereka laungkan dalam manifesto mereka sebelum ini.

Saya juga mengharapkan peruntukan yang akan diberikan pada masa depan akan ditingkatkan kerana OKU penglihatan adalah kumpulan memerlukan keperluan khas, kemudahan, latihan dan menjalani kehidupan juga khas maka kos diperlukan membiayai mereka ini termasuk saya adalah tinggi berbanding mereka yang sempurna sifatnya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 7:12 AM