SULIMAN di markas tabligh Nizamuddin yang sangat meriah di bulan Ramadan. FOTO NSTP
Suliman Abd Lah

Alhamdulillah, sudah empat hari umat Islam menjalani ibadah puasa. Bersyukur masih diberi kesempatan menyambut Ramadan biarpun kali ini berada di New Delhi, India jauh daripada ahli keluarga.

Di New Delhi, waktu siang lebih panjang berbanding malam. Tempoh berpuasa memakan masa 15 jam 30 minit dengan jam 3.42 pagi sudah masuk waktu imsak dan 7.04 malam waktu berbuka.

Saya berpeluang menunaikan solat Tarawih dan menjamah moreh di markas Tabligh Nizamuddin. Kemeriahan terasa di sini seakan berada di tanah air.

Saya juga sempat bersua Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Hidayat Abdul Hamid, bersama kakitangan beliau. Beliau berminat mengetahui lebih lanjut tentang projek kembara solo ini dan sudi meluangkan masa untuk merasmikan acara pelepasan.

Saya terharu dengan semangat kesepakatan dan layanan baik diberikan warga Malaysia di Kompleks Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, malah penerimaan masyarakat tempatan juga agak memuaskan.


SULIMAN ketika menuju New Delhi, India. FOTO NSTP

Nyata kayuhan kali ini memang mencabar selain letih berpuasa, suhu di negara ini agak panas mencecah 46 darjah Celsius berbanding biasa.

Waktu subuh seawal jam 4 pagi dan jam 5 pagi sudah siang. Saya mengambil pendekatan mengurangkan kayuhan dalam jarak 40 hingga 50 kilometer saja bagi mengelak daripada kepanasan ketika berada di atas jalan raya terutama selepas 11 pagi.

Saya juga menghadapi sedikit kesulitan kerana warga asing tidak dibenarkan membeli sim kad telefon India atas faktor keselamatan.

Faktor pemakanan dan minuman perlu diambil kira di sini seperti pesanan rakyat Malaysia yang pernah menetap di India bagi mengelakkan cirit-birit dan demam.

Walaupun kayuhan kali ini agak mencabar, namun segalanya daripada Allah dan saya percaya berkat doa isteri, anak, guru, sahabat dan rakyat Malaysia akan menjadi sumber kekuatan serta tidak melunturkan semangat saya dalam meneruskan kembara menuju lambaian Kaabah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 7:21 AM