AMA Dablam. FOTO Wimedia Commons
AMA Dablam. FOTO Wimedia Commons
Wartawan NSTP


PENDAKI gunung rakyat Malaysia ditemui mati berhampiran Kem II di pergunungan Ama Dablam ketika melakukan pendakian ke puncak lain di Himalaya, Nepal, semalam.

Mayat, Raman Nair Hachoodan, 42, ditemui pasukan sherpa (malim gunung) yang melakukan pencarian di lokasi terbabit selepas dia dilaporkan hilang ketika melakukan pendakian pada ketinggian 6,300 meter, di pergunungan terbabit, 15 Mei lalu.

Himalayan Times hari ini melaporkan, mayat mangsa ditemui di jurang pergunungan pada ketinggian 5,300 meter berhampiran kem II terbabit selepas lima hari pencarian dijalankan.

Laporan itu memberitahu, Raman dipercayai terjatuh kira-kira 1,000 meter ke bawah ketika dia dan dua lagi pendaki menuruni kawasan gunung untuk ke sebuah kem yang terletak di kawasan yang lebih rendah.

Ini kerana mereka memutuskan untuk tidak meneruskan pendakian ke puncak akibat cuaca buruk dan mahu ke kem berkenaan untuk berlindung.

Menurut Himalayan Times lagi, pihak penganjur ekspedisi sudah cuba melakukan pencarian di daratan dan menerusi udara daripada awal namun gagal kerana masalah cuaca.

Difahamkan, bapa mangsa sudah tiba di Kathmandu, Nepal untuk proses tuntutan dan membawa balik mayat Raman ke Malaysia untuk dikebumikan.

Pengebumian dijadualkan diadakan pada 23 Mei ini namun ia bergantung kepada proses bedah siasat dan kelulusan daripada pihak berkuasa Nepal.

Raman sebelum ini dilaporkan berjaya menawan puncak Everest pada 20 Mei tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 8:27 PM