Wartawan NSTP

DATUK Seri Mohd Shukri Abdull mendedahkan diugut dan diancam ketika menyiasat kes skandal penyelewengan SRC International, anak syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu dilantik itu mendakwa, ugutan itu termasuk akan dipecat, dipaksa bersara awal selain menerima kiriman peluru hidup sebagai ancaman.

Beliau dan pegawai penyiasat menghadapi tekanan cukup hebat ketika itu termasuk saksi dilarikan malah beliau serta Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dituduh sebagai pembelot dan mahu menjatuhkan kerajaan.

“€œPengalaman saya dalam kes SRC dan 1MDB amat menakutkan, saya hampir mati dalam kes ini.

“€œSaya rasa sedih. Saya dan Abu Kassim dituduh pembelot untuk menjatuhkan kerajaan kami buat kerja bersungguh-sungguh untuk selamatkan negara dan membawa balik wang dari luar negara,”€ katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Azam Baki dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Datuk Jaafar Mahad.

Mohd Shukri adalah pegawai yang melengkapkan dua kertas siasatan berkaitan kes dana RM2.6 bilion dan SRC International.

Dalam siasatan itu, lebih 100 saksi diambil keterangan.

Pada 3 Oktober 2016, beliau memilih untuk bersara wajib.

Susulan ancaman itu, Mohd Shukri membuat keputusan melarikan diri ke Washington Amerika Syarikat (AS).

"Dalam perjalanan ke sana, saya viralkan cerita saya akan pergi ke Jeddah. Dan ketika itu pihak berkuasa Malaysia menghantar 'red alarm' ke Jeddah suruh tangkap saya.

"Tiba di Washington, saya berasa tidak selamat kerana ada orang mengekori saya. Pegawai saya di sana sempat ambil gambar orang yang mengekori itu.

"Kemudian saya serahkan gambar itu kepada Azam dan minta dia serahkan kepada Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) dan kata saya yang diekori orang dia.

"Kemudian saya lari ke New York menaiki kereta api dan bertemu dengan kawan yang pernah bertugas di Singapura di Jabatan Polis New York (NYPD).

"Mereka memberi perlindungan selama seminggu berserta tiga 'bodyguard'. Selepas rasa selamat saya balik ke Washington dan dapat maklumat pegawai saya ditangkap dan ditukar.

"Pada masa itu saya menangis seperti budak kecil di depan 'Mat Salih'. Saya rasa bersalah kerana anak buah kena tangkap tetapi saya lari ke AS.

“Kemudian saya 'WhatsApp' dua orang menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Paul Low.

“Saya sampai tahap mengugut mereka jika tidak lepaskan anak buah dan beri jawatan lama kepada mereka, saya akan balik dan dedahkan semuanya. Alhamdulillah saya dapat balik pegawai saya," katanya sebak.

Terdahulu, Mohd Shukri berkata, pada mulanya beliau menolak tawaran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM atas alasan sudah 'seronok' bersara dan dapat meluangkan masa bersama cucu.

Namun, beliau memikirkan semula tawaran Dr Mahathir dan menerimanya kerana mengambil tanggungjawab untuk negara dan demi untuk menamatkan 'tugas' yang belum selesai.

"Saya sebenarnya tidak gembira kerana sudah rasa bahagia bersara dan berasa sudah tua. Bila berjumpa Tun, saya terfikir 'nak kata dah tua, dia lebih tua daripada aku'.

"Kalau cakap saya dah bersara, dia (Tun) bersara lagi lama. Saya dah mula fikir nak bagi jawapan sesuai.

"Bila berdepan dengan Tun susah nak cakap sebab orang tua ni dah umur 93 tahun masih kerja untuk negara takkan aku yang muda nak kata tak.

“Akhirnya saya terima tetapi dengan syarat untuk habiskan kerja saya yang belum selesai. Tun kata tiada masalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 4:49 PM
Mohd Shukri sebak semasa berkongsi pengalamannya menyiasat skandal SRC International sebelum ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Shukri sebak semasa berkongsi pengalamannya menyiasat skandal SRC International sebelum ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah