NAJIB beredar dari Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, hari ini. FOTO Abd Rahim Rahmat
Wartawan NSTP


BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak beredar dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 4.52 petang tadi.

Beliau sebelum itu memberi keterangan untuk kali kedua kepada SPRM selama tujuh jam berhubung siasatan kes SRC International.

Najib ketika ditemui di lobi bangunan berkata, beliau sudah selesai sepenuhnya memberi keterangan kepada SPRM berhubung kes berkenaan.

“Hari ini, saya hadir memberi keterangan (untuk) hari kedua kepada SPRM. Saya memberi keterangan bermula 10 pagi hingga 4.30 petang.

“Saya berhenti rehat termasuk untuk solat Zohor selama 40 minit,” katanya.

Menurutnya, beliau sudah menjawab semua soalan dengan sebaik-baiknya.

Katanya, SPRM juga melakukan proses mengambil keterangan dengan profesional.

Selasa lalu, Najib hadir kali pertama dan meluangkan masa hampir lima jam bagi memberi keterangan kepada SPRM berhubung siasatan kes SRC International.

Terdahulu, beliau tiba di Ibu Pejabat SPRM dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire Putih pada 9.45 pagi tadi.

Turut kelihatan peguam Najib, Datuk Yusof Zainal Abidin.

Najib dilihat berpakaian kemeja putih dan mengenakan kot berwarna hitam serta berseluar slack kelabu.

Bekas Perdana Menteri itu turut diiringi dua buah kenderaan lain termasuk dua anggota polis pengiring.

Tinjauan NSTP di lobi bangunan Ibu Pejabat SPRM mendapati, lebih 100 pengamal media daripada pelbagai agensi tempatan dan asing berkumpul sejak pagi bagi mengikuti perkembangan siasatan membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Najib masih beri keterangan'

'Najib hadir beri keterangan kali kedua [METROTV]'

'[UPDATE] Najib sambung beri keterangan lusa [METROTV]'

'Najib ceria tiba di ibu pejabat SPRM [METROTV]'

'Tunggu Najib keluar ke pejabat SPRM'

'Najib boleh kena tindakan...'

'Najib yang perlu hadir ke SPRM'

SPRM hadir di rumah Najib, Selasa ini

SPRM panggil Najib beri keterangan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 5:31 PM