TAPAK pembangunan Tun Razak Exchange pada 1 Mac 2015. FOTO Reuters
Zanariah Abd Mutalib


KEMENTERIAN Kewangan menegaskan pembayaran RM6.98 juta yang dibuat Kementerian Kewangan bagi pihak 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah satu 'bailout', malah ia adalah 'bailout' terbesar yang pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.

Justeru, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata, dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa pembayaran itu bukan 'bail out' dan ia adalah pampasan kepada 1MDB selepas syarikat itu memindahkan kesemua aset hartanah termasuk Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia kepada Kementerian Kewangan adalah salah.

Guan Eng berkata, pemindahan aset 1MDB kepada Kementerian Kewangan bukanlah satu transaksi 'jual-beli' dan pegawai kementerian turut mengesahkan bahawa tiada penjanjian jual beli dilangsungkan atau dijalankan.

"Perkara ini adalah konsisten dengan saranan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). PAC mendapati 1MDB tidak mempunyai keupayaan kewangan, kemampuan untuk membangun atau menjual aset hartanah berkenaan.

"Justeru, PAC mengesyorkan supaya Kementerian Kewangan mengambil alih aset berkenaan bagi menjamin dan meningkatkan kemampanan projek berkaitan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Guan Eng berkata, Najib yang juga Menteri Kewangan sebelum ini juga tidak patut lupa bahawa tanah berkenaan dijual oleh kerajaan Persekutuan kepada 1MDB pada harga yang sangat rendah antara 2010 dan 2012.

Katanya, 28.3 hektar tanah TRX dijual kepada 1MDB pada harga RM230 juta, manakala 196.7 hektar tanah Bandar Malaysia dijual pada harga RM1.6 bilion.

"Mengapa Kementerian Kewangan perlu memberikan pampasan sebanyak berpuluh-puluh bilion kepada 1MDB, walaupun 1MDB sudah membeli tanah itu dengan harga yang begitu murah dan gagal menjalankan sebarang pembangunan ke atas projek ini?" katanya.

Guan Eng turut mengingatkan Najib bahawa Kementerian Kewangan tidak mengambil alih

aset berkenaan secara percuma kerana apabila Kementerian mengambil alih TRX City Sdn Bhd, ia terpaksa juga mengambil alih pinjaman syarikat bernilai RM800 juta yang diambil daripada PERKESO dan hutang itu akan matang pada 2020.

Selain itu, apabila Kementerian Kewangan mengambil alih Bandar Malaysia Sdn Bhd, kementerian terpaksa bertanggungjawab ke atas pinjaman sukuk yang bernilai RM2.4 bilion, katanya.

"Laporan Ketua Audit Negara juga mengesahkan bahawa pinjaman dan sukuk itu tidak digunakan untuk tujuan yang ditetapkan iaitu untuk membangunkan TRX dan Bandar Malaysia.

"Justeru, 1MDB tidak layak meminta apa-apa pampasan daripada Kementerian Kewangan, sebaliknya kementerian yang sepatutnya membuat tuntutan pampasan daripada 1MDB untuk menanggung bayaran hutang terbabit," katanya.

Selain itu katanya, kementerian itu juga sudah membuat beberapa bayaran kepada 1MDB atau bagi pihak 1MDB yang berkaitan dengan projek TRX dan Bandar Malaysia.

"Kementerian Kewangan melalui anak syarikat milik penuhnya Aroma Teraju Sdn Bhd membeli sebidang tanah seluas 2.3 ekar daripada TRX City Sdn Bhd pada September 2015 pada harga RM250 juta.

"Kementerian turut mengembalikan wang deposit RM741 juta untuk pihak 1MDB kepada satu konsortium yang diketuai Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) selepas penjanjian jual beli Bandar Malaysia dibatalkan pada Mei 2017.

"Ini adalah kerana 1MDB sudah habis menggunakan deposit yang dibayar oleh IWH dan tidak mampu memulangkan deposit itu," katanya.

Beliau berkata, selain daripada bayaran terbabit, 1MDB juga menjual dua bidang tanah TRX kepada dua badan berkaitan kerajaan bagi mendapat keuntungan melampau iaitu 0.6 hektar kepada Lembaga Tabung Haji dengan harga RM188.5 juta pada April 2015 dan 0.5 hektar kepada Affin Bank, anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada harga RM255 juta pada Ogos 2015.

Guan Eng turut menegaskan, wang RM6.98 bilion yang dibayar Kementerian Kewangan bagi pihak 1MDB langsung tidak ada kaitan dengan mana-mana projek hartanah di TRX dan Bandar Malaysia, sebaliknya bagi pembayaran faedah kupon dan bayaran balik pendahuluan.

Katanya, ia termasuk membayar faedah kupon bon 30-tahun bernilai RM5 bilion yang diterbitkan pada 2009 di mana wang itu dilaburkan oleh 1MDB kepada PetroSaudi International Ltd yang akhirnya gagal.

"Selain itu, ia bagi membayar faedah kupon bon-bon 10-tahun sejumlah AS$3.5 bilion (RM13.93 bilion)

yang diterbitkan pada Mei dan Oktober 2012, yang bertujuan untuk membiayai pembelian loji-loji penaja kuasa. Aset-aset ini sudah dijual dan hasil jualan itu sudah digunakan sepenuhnya, tetapi bon ini masih lagi terhutang dalam syarikat.

"Ia juga bagi membayar faedah kupon kepada bon 10-tahun AS$3 bilion (RM11.94 bilion) yang bertujuan untuk membiayai pembangunan TRX. Ketua Audit Negara melaporkan hasil terbitan

bon itu tidak langsung digunakan untuk pembangunan TRX.

"Wang berkenaan turut digunakan untuk membayar balik sepenuhnya pendahuluan AS$1.2 bilion (RM4.78 bilion) daripada syarikat kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment

Corporation (IPIC). Pendahuluan ini diterima pada April 2015 untuk membayar hutang AS$975 juta (RM3.88 bilion) yang diberikan konsortium Deutsche Bank.

"Maka, mengapa sebarang pulangan daripada projek hartanah yang asalnya dibeli pada harga yang sangat rendah patut digunakan untuk menutup dan membayar balik segala pinjaman yang tidak berkaitan ini," katanya.

Guan Eng juga meminta Najib memberi penjelasan bagi beberapa perkara, antaranya ke mana perginya wang sejumlah AS$1.83 billion (RM7.29 bilion) yang dilaburkan ke dalam satu usaha sama bersama dengan PetroSaudi International Ltd di antara 2009 dan 2011.

"Selain itu, ke mana perginya wang bon sejumlah AS$3.5 bilion (RM13.93 bilion) yang diterbitkan

pada 2012 yang bertujuan asal untuk membeli loji penjana kuasa di Malaysia, serta wang bon sejumlah AS$3.0 bilion (RM11.94 bilion) yang diterbitkan pada 2013 untuk pembangunan TRX," katanya.

Guan Eng berkata, Kementerian Kewangan akan bekerjasama erat dengan Jawatankuasa Khas 1MDB bagi mengembalikan sebanyak mungkin dana yang hilang, serta menghukum semua pihak yang terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 4:35 PM