NELAYAN  warga Vietnam menunjukkan ular yang  menjadi bekalan makanan sepanjang  berada di laut.
NELAYAN warga Vietnam menunjukkan ular yang menjadi bekalan makanan sepanjang berada di laut.
Helmy Abd Rahman dan Zaid Salim


Kuala Terengganu: Ular, ayam dan anjing antara haiwan yang ditemui dalam tiga bot nelayan Vietnam yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu di perairan negeri ini, kelmarin.

Semua haiwan berkenaan dipercayai dijadikan bekalan makanan kepada 40 nelayan warga asing berusia 18 hingga 50 tahun dalam bot itu sepanjang tempoh mereka berada di laut.

Ketiga-tiga bot yang ditahan juga dipercayai memalsukan dokumen dan menggunakan nombor pendaftaran negara ini untuk mengaburi mata pihak berkuasa, tetapi taktik berkenaan gagal.

Pengarah APMM Wilayah Timur Laksamana Pertama Datuk Zulkarnain Mohd Omar berkata, ketiga-tiga bot berkenaan ditahan Kapal Maritim Segantang yang sedang melakukan rondaan operasi.

“Pada 30 Mei, anggota kami mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan sedang menunda pukat pada jam 7.40 pagi antara 45 hingga 52 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

“Sebaik diperiksa, ternyata semua nelayan ini bukan rakyat tempatan dan semakan seterusnya mendapati mereka menggunakan permit serta lesen palsu,” katanya pada sidang media di Pejabat Daerah Maritim 9 (DM9), semalam.

Zulkarnain berkata, ketika sedang menunda bot terbabit ke Pusat Tahanan Vesel di Kemaman, pihaknya mengesan dua lagi bot nelayan asing yang turut menggunakan permit dan lesen palsu pada jam 12.30 tengah hari.

Katanya, keseluruhan hasil tangkapan bernilai RM3.6 juta meliputi hasil tangkapan laut, diesel, bot serta peralatan menangkap ikan.

“Hasil tangkapan laut yang dirampas meliputi 45 tan ikan baja, 1.2 tan ikan campuran dan 200 kilogram (kg) sotong,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 9:26 AM