Safeek Affendy Razali dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai kanan polis di sebuah bengkel kereta di Subang Jaya, semalam.

Mereka yang berkhidmat dalam Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman, masing-masing berpangkat Asisten Komisioner dan Asisten Superintendan.

Sumber SPRM berkata, ketika serbuan dijalankan, dua pegawai kanan berkenaan berada bersama seorang orang awam di lokasi.

“Pemeriksaan menemui wang tunai berjumlah RM341,000 di kedai berkenaan.

“Susulan itu, SPRM membawa pegawai kanan berkenaan ke sebuah kondominium miliknya dan menemui wang tunai anggaran antara RM400,000 hingga RM700,000,” katanya.

Katanya, kedua-dua pegawai berkenaan kemudian dibawa ke pejabat STAGG di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan kemudian menemui wang dianggarkan lebih RM225,000. Kedua-dua pegawai polis berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 9:37 PM