Muhaamad Hafis Nawawi dan Nur Syazwana Mansor


BANK Simpanan Nasional (BSN) terus bekerjasama dengan rakan strategik Harian Metro (HM) buat kali keempat dalam program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) yang kini memasuki tahun ke-11 penganjurannya.

Sebelum ini, koloborasi BSN bersama HM bermula di Terengganu pada 2013 diikuti Johor (2014), Kelantan (2015) dan tahun ini diadakan di Sik, Kedah.

Ketua Komunikasi Strategik BSN Puspa Marina Omar berkata, BSN sentiasa menjalinkan kerjasama dengan rakan strategik termasuk HM dalam usaha membantu golongan kurang bernasib baik supaya mereka dapat merasai nikmat menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

“Ia satu usaha murni untuk membantu golongan kurang bernasib baik agar mereka boleh meraikan dan menyambut Ramadan serta Syawal ini dengan gembira.

“Program kali ini diadakan selama sehari di Sik di mana bukan sahaja anak yatim, dan pelajar miskin dibantu, malah turut membabitkan golongan warga emas bagi memberi keceriaan kepada mereka,” katanya ketika ditemui sempena program TKHM di Pasaraya Giant, Sungai Petani, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Komersial The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Alfian Talib, Pengarang Eksekutif Projek Khas NSTP merangkap Pengerusi TKHM Othman Mamat dan Pengarang Bersekutu (Digital/Rencana) Hussain Jahit.

Hadir sama, Pengurus Bahagian Hal Ehwal Korporat Jabatan Komunikasi Strategik BSN Arida Ariffin dan Pengarah negeri BSN Kedah/Perlis Zamri Ngah.

Puspa Marina berkata, setiap pelajar miskin dan anak yatim diperuntukkan RM150 di mana mereka boleh membeli kelengkapan untuk menyambut Aildilfitri seperti baju, seluar dan sebagainya.

“Tajaan ini juga demi mengeratkan hubungan dengan pelanggan terutama masyarakat setempat di Kedah,” katanya.

Sementara itu, Othman berkata, pihaknya menyerahkan RM2,000 untuk aktiviti moreh kepada Masjid Ad-Dini Kampung Cemara Jeneri, Masjid Al Maarif Kampung Jeneri, Masjid Al Falah Kampung Betong, Masjid Tajuddin Kampung Kuala Ruman dan Masjid Al Barakah Kampung Berona Kanan.

Katanya, ia adalah inisiatif julung kali diadakan di samping menyampaikan sumbangan kepada 150 anak yatim dan pelajar miskin serta penyerahan kepada 70 keluarga miskin.

“Setiap keluarga miskin turut menerima duit raya RM300 berserta barangan dapur, manakala anak yatim dan asnaf menerima RM100.

“Kebiasaannya kita mengadakan program gotong-royong untuk menyediakan juadah berbuka puasa, namun kali ini kita terus menyerahkan sebahagian besar sumbangan penaja kepada penerima.

“Maknanya kalau dahulu sebahagian daripada duit kita gunakan untuk membuat kemeja-T, membeli beg sekolah dan jamuan, tetapi tahun ini duit itu kita serah kepada kumpulan sasar terutama golongan asnaf serta anak yatim,” katanya.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berkenaan mendapat kerjasama BSN, Sedekahlah Group of Company dan CHERITA Studio.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 8:54 PM
ALFIAN, Othman dan Puspa Marina bergambar bersama kanak-kanak kurang bernasib baik di Pasaraya Giant Sungai Petani sempena Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) 2018, hari ini. FOTO Aswadi Alias