SAZALI Samad. Gambar kecil, Masood Zainal Abidin. FOTO Hasriyasyah Sabudin & Owee Ah Chun.
Mohd Khairie Khalid
khairie@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Bekas jaguh bina badan negara, Sazali Samad sudah diberi nasihat dan peringatan supaya tidak menyertai Kejohanan China Sport Show Fearless Bodybuilding Physique & Bikini di Shanghai, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF), Datuk Masood Zainal Abidin berkata, juara Mr Universe 10 kali itu bagaimanapun tidak mendengar kata dan mengendahkan nasihat berkenaan.

“Sebelum ini, dia sudah menerima keputusan bahawa dia bersalah dan sudah dua kali membuat rayuan. Kita juga memberikan amaran bahawa sesiapa yang digantung tidak boleh bertanding sehingga tempoh itu tamat.

“Walaupun sudah dinasihat, dia masih langgar malah kita tidak boleh menghalang jika dia mahu berbuat demikian. Kita memaklumkan jika dia masuk bertanding juga adalah satu kesalahan.

“Malah, saya sudah nasihatkan dia sebelum pergi ke Shanghai agar jangan bertanding walaupun kejohanan itu tidak diiktiraf,” kata Masood yang juga naib presiden MBBF ketika dihubungi semalam.

Masood mengulas mengenai tindakan kontroversi Sazali menyertai kejohanan di Shanghai itu meskipun dia masih dalam tempoh penggantungan empat tahun selepas didapati positif steroid.

Pada kejohanan itu, Sazali memenangi emas kategori 75 kilogram (kg) dan menduduki tempat kedua kategori terbuka.

Sazali bagaimanapun tampil menjelaskan kontroversi itu dengan memberitahu tujuannya bertanding adalah atas dasar jemputan penganjur, selain pertandingan itu terbuka dan tidak melalui mana-mana persatuan sukan.

Mengulas lanjut, Masood berkata, tindakan Sazali itu bakal menyaksikan kemungkinan besar tempoh penggantungannya selama empat tahun - berkuat kuasa pada 22 September 2015 dan dijadual tamat tahun depan - akan ditambah.

“Apapun, keputusan adalah tertakluk kepada perbincangan yang akan dilakukan Jawatankuasa Disiplin MBBF kelak, namun sebagai ikon, Sazali sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada atlet lain,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Kehormat MBBF, Kamaruzaman Kadir memberitahu Jawatankuasa Disiplin badan induk itu akan bersidang esok bagi membincangkan kes Sazali itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 9:28 AM