PEGAWAI KPDNKK melakukan pemeriksaan di premis yang menjual pakaian cetak rompak diserbu di Jalan Kenanga, semalam. FOTO NSTP
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Seludup masuk ribuan baju dan jeans jenama terkemuka cetak rompak dari Bangladesh serta China untuk memenuhi permintaan sempena sambutan Aidilfitri kelak.

Itu modus operandi kumpulan peniaga warga asing yang dikesan menjadi pemborong utama pakaian cetak rompak jenama terkenal di sekitar ibu kota.

Terbaru kelmarin, sepasukan anggota dan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya dan Kuala Lumpur menyerbu empat premis di Jalan Kenanga di sini, yang dikesan menjual pakaian jenama tiruan.

Jurucakap KPDNKK berkata, operasi dilakukan susulan risikan pihak KPDNKK dan maklumat diberikan pemilik cap dagang barangan tulen.

“Dalam serbuan jam 1.30 tengah hari, tiga premis dimiliki warga Bangladesh dan satu premis milik warga tempatan diserbu serentak 12 pegawai KPDNKK.

“Hasilnya pihak KPDNKK menemui dan merampas 3,000 baju dan jeans jenama Levi’s cetak rompak dianggarkan bernilai hampir RM150,000,” katanya.

Menurutnya, tiga premis perniagaan itu dimiliki empat beradik berasal dari Bangladesh.


PEGAWAI KPDNKK melakukan pemeriksaan di premis yang menjual pakaian cetak rompak diserbu di Jalan Kenanga, semalam. FOTO NSTP

“Semua baju dan seluar cetak rompak itu dipercayai dibawa masuk dari Bangladesh menggunakan kontena kapal berdasarkan maklumat dikumpul,” katanya.

Menurutnya, pakaian cetak rompak itu diedarkan pula kepada peniaga tempatan dengan keuntungan sekali ganda.

“Susulan itu semua pakaian berkenaan dirampas dan peniaga warga asing itu disiasat mengikut Seksyen 8 (2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Menurutnya, semua pakaian cetak rompak itu dipercayai baru dibawa masuk ke Malaysia untuk memenuhi permintaan sempena Aidilfitri.

“Biasanya peniaga warga asing berkahwin dengan wanita tempatan bagi memudahkan mereka mendaftarkan perniagaan dan beroperasi di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Seksyen Harta Intelek Bahagian Penguatkuasaan Putrajaya, Rosli Ahmad yang dihubungi mengesahkan rampasan itu dan memberitahu pihaknya meningkatkan operasi bagi membenteras kegiatan penjualan barangan cetak rompak di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 9:51 AM