FAEZ sedar perlu ambil masa untuk jadi pelakon dikenali.


Jejaka berbadan sasa yang mahu dikenali sebagai Faez Nick ini mengaku bukan mudah mencipta nama dalam bidang lakonan.

Apa tidaknya, kebanjiran ramai pelakon baru ketika ini membuatkan Faez berdepan pelbagai ujian dan cabaran tersendiri.

Menurut Faez, sebagai pelakon yang baru setahun jagung dalam bidang ini, dia tidak boleh patah semangat sebaliknya percaya dengan rezeki Allah.

“Semuanya perlu bermula dari bawah. Saya juga perlu ambil masa untuk menjadi pelakon dikenali satu hari nanti.

“Tiada jalan pintas untuk berjaya dalam bidang lakonan. Saya perlu berusaha keras dan percaya dengan rezeki yang diberi. Jadi, saya perlu bijak memanfaatkan peluang dan ruang yang diberikan kerana dari situlah lakonan saya dinilai,”katanya.

Menurut Faez yang mengagumi pelakon Datuk Farid Kamil berharap kehadirannya memberi impak positif kepada industri seni tempatan sekali gus bertahan lama dalam bidang ini.

“Kerjaya yang saya pilih ini bukan untuk mencari publisiti atau mengejar populariti, sebaliknya memang sudah lama meminati bidang lakonan cuma tiada peluang sebelum ini.

“Namun, selepas terbabit dalam sukan bina badan dan menyertai beberapa sesi fotoggrafi untuk mempromosikan beberapa produk, saya jadi lebih teruja untuk mengintai peluang.

“Alhamdulillah, percubaan saya sebagai pelakon tambahan membuahkan hasil apabila ada pihak nampak kehadiran saya dan menawarkan berlakon watak yang lebih berat,” katanya.

Mengakui teruja dengan tawaran demi tawaran yang diberikan, Faez nekad untuk tidak sia-siakan setiap peluang yang diberikan.

“Saya mula memegang watak pembantu menerusi drama bersiri Syurga Yang Kedua untuk siaran TV9. Bermula dari situ saya ditawarkan pula berlakon dalam drama bersiri berjudul Degup Cinta dan Mimpi Yang Sempurna.

“Melihat maklum balas positif yang diterima daripada pengarah, saya yakin untuk teruskan bidang ini dan mahu pergi lebih jauh.

“Kepercayaan mereka membuatkan saya lebih bersemangat untuk bekerja keras dan memperbaiki diri serta mencari lebih banyak peluang dalam bidang ini,” katanya.

Mengakui bukan mudah untuk mencipta nama, Faez sentiasa berpegang kepada prinsip menjaga hubungan baik dengan manusia dan berdisiplin.

“Cabaran utama yang perlu saya hadapi kini adalah berdepan dengan ramai pelakon baru yang ingin mencipta nama. Oleh itu, saya perlu mempersiapkan diri dari segi penampilan dan menjaga disiplin serta kelakuan.

“Proses ini akan lebih matangkan saya dan memberi saya lebih peluang untuk terus berada dalam bidang seni lakonan. Lagipun tiada yang mustahil kalau kita berusaha menggapainya,” katanya.

Dalam pada itu, Faez juga bersedia berdepan apa juga ujian dan kontroversi yang mendatang.

“Sebaik memilih kerjaya ini sebagai salah satu punca pendapatan, saya sudah tanamkan dalam diri untuk berdepan apa jua rintangan dan cabaran dengan tenang.

“Bagaimanapun saya sentiasa berdoa dan berharap, laluan kerjaya saya ini berjalan dengan baik kerana saya tidak mahu kerjaya seni saya musnah kerana cerita tidak benar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 6:57 AM