KERAP berbuka di lokasi dengan rakan mengurangkan ‘beban’ sambut Ramadan bersendirian.
KERAP berbuka di lokasi dengan rakan mengurangkan ‘beban’ sambut Ramadan bersendirian.
Sudirman Mohd Tahir


Episod perceraian dengan Bella Dally tidak menjadikan pelakon, Nazim Othman lemah, malah jauh sekali ingin menyalahkan takdir.

Bagi Nazim, apa yang terjadi adalah suratan dan ketentuan Allah SWT. Pada masa sama, Nazim atau nama sebenarnya Nushrul Alif Othman, 34, akur jodoh dengan Bella berakhir dengan perpisahan.

Walaupun di sudut hati masih tersimpan kesedihan, Nazim sedaya-upaya tidak mahu membiarkan perkara itu menguasai diri sekali gus mengganggu rutin harian.

Menurut Nazim, selepas sebulan bercerai iaitu pada 2 Mei lalu, segalanya berada dalam terkawal kerana kehidupan perlu diteruskan.

Malah, sepanjang Ramadan ini Nazim melaluinya dengan cukup tenang tanpa ingin satu pun aura negatif singgah dalam hidupnya.

“Alhamdulillah, walaupun sesuatu yang duka terjadi pada awal bulan lalu, sekarang segalanya kian stabil. Saya okey dan menjalani kehidupan seperti biasa. Paling penting semuanya terkawal. Lagipun, kehidupan

perlu diteruskan. Masih banyak perkara menanti di hadapan.

“Kalau dibandingkan masalah saya ini dengan orang lain, ramai lagi yang lebih teruk. Jadi, untuk apa saya terus menangisi dan membebankan diri dengan perkara ini. Perceraian dilalui bukan alasan untuk saya berputus asa, lemah semangat atau berhenti menjalani kehidupan.

“Setiap orang didatangkan dengan pelbagai ujian, tetapi jangan cepat menyerah kalah. Kita perlu lawan. Macam saya, apa dilakukan adalah sibukkan diri dengan bekerja. Saya bersyukur setiap kali bangun pagi, saya masih ada tujuan dan bukannya kosong tanpa arah,” katanya.

Namun, Nazim yang juga pelakon drama Monalisa tidak boleh menipu diri sendiri yang dia masih menyimpan segala kenangan sepanjang mengenali dan hidup sebagai pasangan suami isteri.

Nazim juga mengakui, bukan mudah untuknya menutup segala kesedihan yang berlaku dengan mempamer kegembiraan di Instagram.

“Saya tidak boleh tipu diri sendiri. Apabila mengenangkan perkara ini, sudah tentu saya bersedih kerana segala kenangan masih bersisa. Apatah lagi, sepanjang hidup ini saya sudah melalui pelbagai ujian.

“Cuma, apa yang berlaku ini membuatkan saya jadi lebih matang. Saya sudah tahu mengawal tanpa perlu menggunakan sentimen. Saya di sini bukan untuk menjaja kisah peribadi atau meraih simpati. Semua ini tidak perlu.

“Bagi saya, perpisahan kami bersifat domestik. Tidak perlu diceritakan secara mendalam kepada orang luar. Mungkin pada segelintir pihak mereka okey dan tidak kisah tetapi ia bukan cara saya,” katanya.

Terasa keseorangan

Sambutan Ramadan dan Aidilfitri kali ini juga begitu terasa buat Nazim kerana tidak bersama pasangan seperti tahun sebelumnya.

“Perkara ini tidak boleh dielak. Cuma, saya bersyukur sepanjang Ramadan ini terbabit dalam penggambaran drama Terima Aku Seadanya. Jadi, saya banyak berbuka puasa dengan rakan sekerja di lokasi. Jadi, tidak terlalu berat nak menanggung rasa keseorangan itu.

“Mungkin kalau dalam tempoh ini saya tidak bekerja, ia bahaya. Pasti ia boleh mengganggu mental dan hati. Jadi, apabila boleh bekerja saya boleh lupakan seketika masalah ini,” katanya.

Pada masa sama, Nazim berkongsi dia terdetik untuk tidak pulang beraya di Johor Bahru kerana enggan diajukan persoalan ini.

“Kalau ikutkan hati memang tidak mahu pulang kampung. Ini kerana saya segan berdepan dengan keluarga tetapi apabila berfikir secara waras dan matang, saya kena balik.

“Lagipun, saya masih ada ibu bapa dan keluarga. Mereka sentiasa ada memberikan sokongan. Bagi saya, ada hikmah di sebalik apa yang terjadi. Allah ingin memberi peluang kepada saya untuk meluangkan lebih banyak masa bersama mereka,” katanya.

Namun, Nazim sudah bersedia mendengar setiap persoalan. Baginya, itu adalah lumrah.

“Kalau ada bertanya, saya anggap ia sekadar usikan, namun, saya percaya keluarga tahu apa dimaksudkan dengan sensitif. Mereka tidak akan tanya perkara yang boleh mengundang kesedihan. Apa pun, saya tetap positif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 4:11 AM