Zanariah Abd Mutalib


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Penasihat Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau Jho Low, hari ini, bagi membantu siasatan ke atas syarikat pelaburan strategik negara itu.

Waran tangkap turut dikeluarkan ke atas Pengarah Urusan SRC International Sdn Bhd (SRC) Nik Faisal Ariff Kamil Nik Othman.

Dengan pengeluaran waran tangkap itu, mereka menjadi 'individu amat dikehendaki'.

“Mereka amat dikehendaki untuk membantu siasatan 1MDB,” kata sumber yang mengesahkan waran tangkap berkenaan dikeluarkan.

Terdahulu, SPRM dalam satu kenyataan, hari ini meminta Jho Low, 37, dan Nik Faisal Ariff Kamil, 47, tampil bagi membantu siasatan kes itu.

Jho Low memiliki kad pengenalan bernombor 811104-07-5701 dengan alamat terakhir di 69, Tanjung Bungah Park, Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Nik Faisal Ariff Kamil pula memiliki kad pengenalan bernombor 710304-10-6303 dengan alamat terakhir di No 17, Jalan Tun Teja 35/16, Alam Impian, Shah Alam, Selangor dan No 19, Jalan Tun Teja 35/16, Alam Impian, Shah Alam, Selangor.

SPRM meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali kedua-dua individu terbabit supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Penolong Kanan Pesuruhjaya Rosli Husain di talian 03-88700529 atau 010-3187757, e-mel kepada [email protected] atau mana-mana Pejabat SPRM terdekat.

Kelmarin, SPRM memaklumkan sedang mengesan dua individu yang dipercayai melarikan diri ke luar negara, untuk membantu siasatan kes SRC.

Individu terbabit dikenali sebagai Mohamed Redzuan Adamshah, 43, dan Toh Lean Seng, 45.

Sementara itu, Jho Low turut menyatakan kesediaan untuk membantu siasatan skandal 1MDB.

Dalam laporan disiarkan Bloomberg, Jho Low berkata, beliau sudah mengarahkan peguamnya menghubungi SPRM selepas dimaklumkan agensi berkenaan mencari beliau untuk membantu siasatan 1MDB.

“Perkara itu dimaklumkan oleh wakil Jho Low dalam satu kenyataan e-mel,” kata agensi berita itu.

SRC adalah anak syarikat 1MDB, sehingga diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pada 18 Mei lalu, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin meminta Jho Low pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Bekas Menteri Kewangan itu menegaskan Jho Low adalah individu terpenting dan utama bagi membantu siasatan 1MDB.

Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dipanggil bagi memberi keterangan kepada SPRM berhubung siasatan ke atas SRC.

Sebelum ini, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Siasatan 1MDB untuk menjalankan siasatan terperinci, pengesanan dan penyitaan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB.

Berita berkaitan

Jho Low nak bantu

SRC International: Dua individu dicari

[UPDATE] Rosmah selesai beri keterangan

[UPDATE] Sudah tiga jam beri keterangan

Rosmah hadir di ibu pejabat SPRM [METROTV]

1MDB: Rosmah perlu hadir ke SPRM esok

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 10:29 PM