FATTAH selaku pengarah video muzik turut tampilkan keluarga.
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Antara elemen utama Aidilfitri adalah lagu yang mengisi dan mewujudkan ‘mood’ suasana sambutan perayaan itu.

Apabila sebut lagu raya, tentunya akan bermain di fikiran lagu malar hijau yang berentak tradisi dan mempunyai elemen kekeluargaan.

Itu jugalah yang ingin disampaikan oleh pelakon dan penyanyi, Fattah Amin menerusi kehadiran lagu raya pertama dendangannya berjudul Syawal Kali Ini.

“Ia percubaan pertama saya menyanyikan lagu raya. Lagu ini dicipta Aizat Amdan dan Mel Ramlan,” katanya.

Lebih menarik, Fattah yang bertindak sebagai pengarah video muzik lagu raya dendangannya turut menampilkan keluarga tercinta.

“Saya jadikan ibu, ayah dan adik sebagai teraju utama dalam video muzik Syawal Kali Ini. Ia bersesuaian dengan nilai kekeluargaan yang saya terapkan dalam lagu ini,” katanya.

Ditanya bagaimana timbul idea untuk menghasilkan lagu raya, Fattah berkata dia mahukan sesuatu yang berbeza selain mevariasikan lagunya.

“Saya sudah ada beberapa single solo dan duet sebelum ini. Jadi, saya nak cabar diri untuk tampil dengan genre berbeza.

“Syawal Kali Ini berentak tradisional yang tidak terlalu ketara tetapi pada masa sama tidak terlalu moden. Dalam kata lain, ia seimbang,” katanya.

Walaupun nampak serius dalam kerjaya muzik, Fattah bagaimanapun enggan terlalu kerap muncul dengan single.

“Orang kenal saya sebagai pelakon. Saya keluarkan lagu pun untuk memuaskan hati peminat, jadi bukanlah bererti saya akan terlalu kerap keluarkan single baru,” katanya.

Berkongsi pengalaman menyambut Ramadan sebagai suami, Fattah bersyukur kerana Nur Fazura sangat bertanggungjawab dan sentiasa menjaga keperluannya.

“Ini pengalaman pertama saya menyambut Ramadan bersama isteri dan selepas berkahwin barulah saya tahu dia pandai memasak,” katanya.

Menurut bintang filem KL Special Force itu, sambal udang petai air tangan isterinya menjadi kegemarannya.

“Saya paling suka sambal udang petai. Namun, banyak lagi hidangan lain yang dia boleh masak dan rasanya sedap,” katanya.

Katanya, Fazura mewarisi skil memasak daripada ibu mentuanya.

“Sejak kecil dia belajar memasak daripada ibunya cuma dia tidak tunjukkan kepada semua orang di media sosial. Sebab itulah tak ramai tahu dia sebenarnya pandai masak,” katanya.

Lebih bermakna, Fattah kini ada insan tersayang yang menemaninya ketika bersahur.

“Menyambut Ramadan sebagai suami adalah kenangan paling manis dan tak akan saya lupakan. Saya ada isteri yang boleh memasak dan hidangkan juadah untuk saya.

“Saya yakin semua suami di seluruh dunia pun akan sependapat dengan saya,” katanya.

Filem Mat Kilau

Terbaru, pelakon berusia 28 tahun itu kini berehat daripada penggambaran filem kedua lakonannya, Mat Kilau.

“Insya-Allah, penggambaran akan disambung semula selepas hari raya kedua. Babak yang membabitkan saya ada baki kira-kira 20 hari penggambaran,” katanya.

Dalam filem arahan Syamsul Yusof itu, Fattah memegang watak sebagai Awang, adik kepada Mat Kilau lakonan Datuk Adi Putra.

“Saya melakukan kajian mengenai perwatakan Awang. Penerbit memperkenalkan saya kepada cicit Awang, jadi sedikit sebanyak saya dapat maklumat keperibadian Awang,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran menjayakan filem sejarah, Fattah berkata dia perlu menjayakan babak aksi silat.

“Ketika di bangku sekolah saya pernah belajar silat. Adalah sikit asas gerak silat yang saya tahu.

“Memang mencabar kerana silat bukanlah seperti seni bela diri lain. Ia banyak bermain dengan bunga silat.

“Syamsul selaku pengarah juga sangat teliti dalam memastikan semuanya nampak tidak kaku. Waima bunga silat pun dia sangat teliti. Oleh sebab itu, ini adalah penggambaran filem paling panjang pernah saya lakukan,” katanya.

Selain Fattah dan Adi Putra, Mat Kilau dibintangi ramai pelakon hebat termasuk Johan As’ari, Beto Kusyairy, A Galak dan Nadiya Nisaa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Jun 2018 @ 7:02 AM