HANNAH ambil positif untuk baiki mutu lakonan.
Michelle Gun


Seperti artis lain, pelakon dan penyanyi kelahiran Singapura, Hannah Delisha tidak terkecuali menjadi mangsa serangan peribadi segelintir netizen.

Pemilik nama sebenar Hannah Adlina Blackburne Birch ini sebaliknya memilih untuk tidak mengendahkan kecaman netizen.

Namun, bintang jelita ber­usia 21 tahun ini menga­kui ada juga kritikan netizen berguna bagi memperbaiki bakat lakonan serta nyanyiannya.

“Ada dua jenis ‘haters’. Satu memberi kritikan membina yang boleh dijadikan sebagai nasihat berguna.

“Golongan satu lagi adalah ‘haters’ kurang ajar yang mengutuk semua perkara dilakukan tidak kira baik atau buruk. Ada saja yang tidak kena pada mata mereka,” katanya.

Heroin drama bersiri Mencintaimu Mr Photo­grapher ini mengakui ada kala teringin membalas kutukan netizen kerana terlalu geram.

“Bagaimanapun, saya mengambil keputusan untuk membiarkan saja, tiada guna memberi perhatian kepada mereka.

“Lagipun, saya tidak mahu keadaan menjadi kecoh sehingga menjadi isu. Setakat ini, belum ada kecaman teruk yang membuatkan saya sukar melupakannya,” katanya.

Belum sedia botakkan kepala

Memulakan kerjaya seninya sebagai penya­nyi, Hannah kemudian mengembangkan bakat dalam bidang lakonan dan membintangi beberapa drama bersiri di Singapura dan Malaysia.

Terbaru, dia membawa watak berbeza iaitu sebagai hantu jelita dalam telefilem seram komedi, The Hantus yang bakal menemui penonton di Astro First Eks­klusif pada 15 Jun ini.

Menurut Hannah, sebagai pendatang baru dalam industri seni tanah air, dia terbuka menerima pelbagai watak.

“Saya tiada masalah mencuba watak baru termasuk perlu berpenampilan buruk. Cuma saya belum bersedia untuk membotakkan kepala,” katanya.

Bagi Hannah, memiliki wajah cantik bukan sebab utama rezekinya dalam lakonan murah tetapi lebih kepada bakat.

“Pada saya, kalau memandang kecantikan semata-mata lebih sesuai menjadi model. Berlakon memerlukan bakat, namun ini bukan bermaksud saya sudah hebat. Bukan, masih banyak lagi yang saya perlu pelajari,” ujarnya.

Kata Hannah, pada mulanya dia hanya ingin membina kerjaya dalam bidang nyanyian.

“Kemudian ketika ditawarkan untuk berlakon, saya kurang pasti jika boleh melakukannya atau tidak.

“Tetapi ibu nasihat untuk cuba semua bidang dalam industri seni dulu dan melihat mana yang lebih sesuai untuk saya,” katanya.

Belum beli baju baru

Mengenai sambutan Aidilfitri, Hannah berkata, dia hanya bercuti beberapa hari bersama keluarga di Singapura.

“Oleh kerana jadual penggambaran padat, saya hanya dapat rehat selama tiga atau empat hari saja.

“Malah, saya belum sempat membeli baju baru dan kuih untuk dibawa pulang. Tahun lalu, saya juga sibuk dan terpaksa kerja beberapa hari selepas Aidilfitri,” katanya.

Bercerita sambutan Aidilfitri bersama keluarga, pemilik lagu Tak Perlu Kata Apa-Apa ini akan bersama saudara-mara berkumpul di rumah nenek pada hari raya pertama.

“Kemudian kami sekeluarga akan melawat saudara-mara lain dan rakan.

“Sejak menetap di Malaysia tahun lalu, saya dapat merasai pengalaman menyambut Ramadan dan Aidilfitri dalam suasana berlainan,” katanya.

Berbeza dengan industri seni Singapura, Hannah berkata, jadual lebih padat sepanjang Ramadan sejak menempa nama di negara ini.

Selepas The Hantus, Hannah kini sibuk dengan penggambaran drama The Full House yang diadaptasi daripada siri Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 5:54 AM