Skip this ad x
SEBAHAGIAN telekung yang sudah dicuci. Gambar kecil, Zatika Izati Puade. FOTO Ihsan pembaca
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Tidak perlu modal besar dan menunggu masa terluang untuk melakukan amal jariah menjadi prinsip Zatika Izati Puade, 42, yang menggerakkan inisiatif mencuci telekung di surau awam secara persendirian sejak tahun lalu.

Penterjemah bebas yang menetap di Pandan Indah itu berkata, sejak tahun lalu, dia membuat kerja amal itu di sekitar surau pusat beli-belah berdekatan kediamannya dan sekolah anak-anaknya.

“Saya buat kerja ini bukan sepenuh masa. Sambil membeli barang, saya akan singgah di surau untuk mengambil separuh telekung kotor setakat mana termampu dan saya bawa balik serta meninggalkan beberapa helai lagi untuk kegunaan jemaah.

“Di rumah, saya rendam semalaman dengan sabun dan selepas itu dibawa ke dobi untuk dicuci sekali lagi sebelum dijemur dan dihantar semula ke surau tadi.

“Ketika inilah saya akan ambil baki telekung yang belum dibasuh untuk dibawa pulang dan cuci di rumah,” katanya.

Menurutnya, melihat telekung yang bersih dan berbau wangi selepas dicuci seakan-akan menjadi terapi buat dirinya yang cintakan kebersihan.


ZATIKA dibantu anak dalam menjalankan urusan dobi. FOTO Ihsan pembaca

“Rata-rata surau di Malaysia sudah banyak orang sumbang telekung wakaf. Saya tengok kebanyakannya masih baru dan elok, sayangnya kotor dengan bekas alat solek dan paling ketara bau masam peluh ketika musim panas.

“Jadi, saya fikirkan adalah lebih baik menjaga dan mencuci telekung sedia ada ini daripada mengeluarkan modal banyak untuk membeli telekung baru,” katanya.

Zatika Izati berkata, dia akan mengulang aktiviti membasuh telekung di tempat sama mahupun surau berlainan dalam tempoh tiga bulan dan ada kala turut dibantu anaknya.

“Kadangkala saya juga ajak anak lelaki membantu saya pada waktu cuti sekolah kerana mahu mendidik mereka pada usia muda.

“Sebenarnya hendak buat baik banyak caranya dan tak perlu banyak modal. Cuma jangan malu, yang penting bertanya kerana mungkin ada beranggapan kita hendak mencuri, sebab itu pentingnya meminta kebenaran daripada pihak berkenaan supaya tidak timbul masalah.

“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak ada lagi pengalaman buruk kerana biasanya saya akan meminta izin dulu daripada pihak pengurusan untuk membasuh telekung yang ada di premis mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 9:45 AM