ZIZAN Razak. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Selepas dua tahun berturut-turut menyambut Aidilfitri di Makkah, pelakon dan pelawak popular, Zizan Razak memilih untuk meraikannya di kampung halaman di Terengganu tahun ini.

Apa yang mengujakan, pelakon filem Polis Evo ini juga akan menganjurkan rumah terbuka buat peminatnya di sana.

“Tahun ini saya memilih untuk menyambut Aidilfitri di kampung halaman dan mengadakan rumah terbuka di Terengganu. Bagi saya, ini adalah salah satu cara menghargai peminat yang selama ini banyak memberikan sokongan terhadap perjalanan kerjaya seni saya yang hampir 11 tahun ini.

“Bukan tidak mahu mengadakan di Kuala Lumpur, tapi kalau di Kuala Lumpur saya mudah bertemu peminat. Namun, di kampung saya dapat bertemu dan meluangkan masa bersama saudara, rakan dan peminat,”katanya.

Lebih sedekad bergelumang dalam bidang seni, Zizan akui sudah masak dengan soalan peribadi yang bakal diajukan kepada dirinya ketika Aidilfitri.

Katanya, dia bersedia untuk berhadapan situasi itu dan sentiasa terbuka.

“Saya sudah biasa dengan pertanyaan mengenai jodoh dan sebagainya. Paling tidak pun, saya hanya akan tersenyum sahaja dan saudara-mara juga sudah memahami serta mereka tidak campur tangan sangat.

“Sebagai selebriti, ini asam garam yang perlu ditempuh dan saya akur dengan situasi seperti ini,” katanya.

Ditanya soal jodoh, Zizan meletakkan sasaran untuk mendirikan rumah tangga selewat-lewatnya tahun depan, namun enggan mendedahkan siapa wanita sedang dikenalinya.

“Sepanjang 11 tahun dalam bidang seni, saya bersyukur perjalanan seni saya berjalan lancar. Cuma hajat menamatkan zaman bujang itu sahaja belum diketahui, tetapi saya ada merancang untuk berkahwin pada tahun ini atau tahun depan.

“Segalanya masih dalam perancangan. Saya percaya segala sesuatu yang berlaku adalah atas izin-Nya.

“Ini kerana ada beberapa perkara yang saya nak, tapi ada yang tak dapat. Begitu juga dengan perubahan kerajaan baru berlaku dengan izin Allah. Malah, perceraian juga berlaku kerana Izin-Nya walaupun Dia tidak suka.

“Jadi saya percaya setiap yang berlaku ini ada hikmahnya. Saya tidak terburu-buru soal ini sebaliknya berserah kepada takdir Ilahi,”katanya.

Menurut Zizan, dia lebih selesa merahsiakan identiti wanita itu kerana masih dalam proses perkenalan.

“Saya tahu anda semua sudah tahu cuma saya tidak akan sebut. Biarlah saya rahsiakan gerangan itu dulu.

“Insya-Allah saya akan kongsikan apabila sudah tiba masanya nanti,” katanya.

Sementara itu, Zizan bakal menjalani penggambaran filem di Indonesia selama seminggu selepas Aidilfitri.

Zizan akui pembabitannya dalam filem terbabit dipengaruhi laman sosialnya yang membuatkan namanya dikenali di negara seberang.

“Penangan media sosial ini sukar dijangka. Kita sendiri banyak menghabiskan masa dengan media sosial. Jadi tanpa disangka menerusi media sosial itu juga syarikat produksi di Indonesia mengenali saya.

“Apabila mendapat peluang sebegini, saya teruja. Apa yang penting, saya tidak mahu mengejar populariti, tetapi sebaliknya mementingkan kualiti kerja yang lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 8:10 AM