ELVINA. FOTO Mindorder
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Ketika ditimpa ujian, rahmat turut diturunkan. Inilah yang dialami pelakon Datin Elvina Mohamad sepanjang Ramadan ini.

Ketika masih dalam tempoh manis mengulit kehidupan rumah tangga selepas berkahwin dengan Datuk Haniff Borhan pada 18 Mac lalu, Elvina diuji apabila suaminya ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kes penipuan pelaburan mata wang asing (forex) dan mata wang digital (bitcoin) pada 30 Mei lalu.

Menceritakan detik penuh gundah itu, Elvina berkata, dia menjadi tak keruan memandangkan dia sendiri tidak tahu apa yang sedang berlaku.

Kejadian itu menimbulkan banyak tanda tanya bukan saja kepada dirinya, tetapi juga keluarga mentua.

“Ini antara ujian besar buat saya, tetapi lagi besar buat keluarga suami. Bayangkan pada masa sama bapa mentua diserang angin ahmar, tiba-tiba Hanif ditahan.

“Pada mulanya saya tidak tahu apa-apa. Saya hanya mengetahuinya apabila dihubungi wartawan bertanyakan perkara itu. Saya panik dan cuba menghubungi menerusi peguamnya.

“Hanif cuba menenangkan saya dan berkata jangan bimbang kerana tiada perkara buruk berlaku. Pihak berkuasa hanya memanggilnya untuk membantu siasatan,” katanya.

Walaupun ditenangkan Hanif, isteri mana yang tidak berkecamuk perasaan dan fikiran apabila diberitahu suami ditahan?

Menurut Elvina, dalam tempoh suaminya ditahan, lebih seminggu dia berendam air mata.

“Bayangkan dalam situasi itu saya juga perlu memujuk ibu dan bapa mentua. Saya perlu memastikan mereka tidak terlalu terganggu terutama bapa mentua yang sedang sakit.

“Namun saya tidak kuat. Cubalah bertahan macam mana pun, air mata tetap mengalir di hadapan mereka apabila mengenangkan nasib suami ketika itu,” katanya.

Berdepan situasi hitam itu, Elvina berkata, sebenarnya ada perkara yang Allah mahu tunjukkan, tambahan pula ia berlaku pada Ramadan yang penuh keberkatan.

Elvina berkata, dia lega apabila Hanif akhirnya dibebaskan baru-baru ini.

Difahamkan, ada pihak mahu menganiaya Hanif dan tidak kurang mengambil kesempatan.

“Saya dimaklumkan orang yang menganiaya Hanif ialah kawan rapatnya sendiri. Mereka yang membuat kesalahan itu, tetapi yang diheret namanya adalah suami saya.

“Mereka yang dikaitkan melakukan kesalahan itu pula sudah melarikan diri. Apabila ditanya kenapa berbuat demikian terhadap suami saya, mereka hanya mendiamkan diri dan berkata tidak tahu-menahu dan tidak mahu bertanggungjawab,” katanya.

“Bukan itu saja, kawan yang rapat dengan kami sebelum ini juga sepanjang suami berada dalam tahanan semuanya diam membatukan diri. Tidak seorang pun yang datang atau sekurang-kurangnya bertanyakan situasi sedang berlaku dan apa yang boleh mereka bantu,” katanya.

Menurut Elvina, hikmah daripada peristiwa itu ialah dia dan suami sudah tahu siapa sebenarnya rakan sejati dan sanggup untuk hidup susah serta senang bersama.

“Ketika sedih, kawan ketika gembira tiada seorang pun yang datang. Besarnya rahmat Allah. Dia tunjukkan kami kejadian itu dalam bulan Ramadan,” katanya.


ELVINA. FOTO Mindorder

Hamil dua bulan

Ketika berdepan ujian, Elvina turut dihujani rahmat.

Ketika Hanif ditahan polis, dalam masa sama Elvina disahkan hamil dua bulan.

Elvina berkata, ketika dalam kesedihan, dia tiba-tiba mengalami sakit perut dan mengalami pendarahan.

Kejadian yang menimpanya tidak ubah seperti drama bersiri Isteri Untuk Diiktiraf yang dibintanginya ketika ini. Apa yang berlaku bagaikan pasang surut air di laut.

“Berdepan situasi yang sangat sedih itu, tidak dinafikan saya tidak lalu makan, tidak boleh tidur, menangis dan mengharapkan suami tidak diapa-apakan. Ia turut mengganggu kesihatan,” katanya.

Elvina berkata, selepas mengalami pendarahan itu, dia panik dan terus ke hospital.

Hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan dia hamil dan memaklumkan dia berada dalam keadaan tertekan yang tidak baik untuk kandungan.

Mujur kandungannya tidak terjejas dan doktor memberikannya ubat bagi menguatkan rahim.

“Ternyata Allah Maha Besar dan Dia menentukan segalanya. Ketika berdepan dengan perkara paling menyedihkan, tiba-tiba saya disahkan mengandung.

“Kesedihan yang saya dan suami alami Allah tukarkan dengan kegembiraan tidak terkira dalam sekelip mata. Alhamdullilah, saya benar-benar bersyukur. Mungkin ini juga balasan kebaikan diberikan Allah kepada kami kerana dianiaya orang,” katanya.

Menurut Elvina, dia perlu lebih berhati-hati dan tidak boleh berada dalam situasi tertekan seperti sepanjang tempoh suaminya ditahan.

“Bukan itu saja, perkara yang berlaku ini juga menguji kesetiaan dan rasa cinta kami.

Kami lebih mengenali antara satu sama lain.

“Saya percaya Allah menguji hamba-Nya yang Dia sayang, jadi sentiasalah bersangka baik dengan Allah. Jangan mengeluh atas ujian yang didatangkan.

“Itu yang saya belajar sepanjang tempoh. Saya lebih bersikap terbuka dan satu perkara saya belajar ialah jangan pertikai perancangan Allah. Dia uji saya dan suami dengan peristiwa paling mencengkam dan dia gantikan dengan kegembiraan tiada taranya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 8:19 AM