NORYN Aziz. FOTO Mahzir Mat Isa
Syafil Syazwan Jefri

syafil.syazwan@ hmetro.com.my

Nama penyanyi, Noryn Aziz sebati dengan lagu berentak jaz. Kini penyanyi berusia 43 tahun itu kembali dengan buah tangan baru yang nyata berbeza.

Menerusi single berentak balada berjudul Percayakan Dia ini, Noryn berduet dengan Hazama.

“Ini kali pertama saya menyanyikan lagu duet dan berkolaborasi dengan Hazama.

“Menariknya, lagu ciptaan Ajai ini adalah lagu tema filem Kalla, Hidup atau Mati lakonan Faizal Hussein dan Vanida Imran,” katanya.

Menurutnya, bekerjasama dengan Hazama tidak sukar kerana mereka cepat serasi.

“Awalnya, takut juga jika saya tidak dapat cari keserasian dengan Hazama tetapi alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.

“Paling saya risaukan saat rakaman berlangsung adalah andai terbawa-bawa cara nyanyian Barat yang pastinya tidak sesuai dengan melodi lagu Melayu,” katanya.

Empat tahun menyepi, Noryn Aziz tidak berehat sepenuhnya daripada dunia nyanyian sebaliknya berkongsi ilmu dengan generasi baru.

“Saya berundur seketika untuk memberikan sepenuh perhatian terhadap anak saya, Raja Bariq Umar Shah yang kini berusia empat tahun.

“Walaupun tidak aktif dalam arus perdana, saya giat mengajar vokal sejak awal tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, sekolah vokal di Hartamas itu tidak hanya menyasarkan penyanyi profesional tetapi turut dibuka kepada mereka yang ingin mencari keyakinan diri.

“Ada dalam kalangan pelajar saya, terutama kanak-kanak dihantar oleh ibu bapa kerana mereka kurang keyakinan untuk bercakap di hadapan orang ramai.

“Menerusi nyanyian, saya mendapat maklum balas positif daripada ibu bapa dan kebanyakannya berpuas hati dengan perubahan anak mereka. Kalau awalnya malu, selepas belajar sudah boleh bercakap dengan yakin dan tidak teragak-agak lagi,” katanya memaklumkan pelajarnya terdiri daripada mereka yang berusia enam hingga 30 tahun.

Teknik nyanyian terkini

Walaupun lebih dua dekad dalam industri, Noryn tidak pernah berhenti menimba ilmu.

“Sehingga kini pun, saya masih belajar dengan beberapa guru vokal termasuk Cikgu Shafi. Bagi saya, ilmu itu tidak terhenti dan kita perlu terus mencari,” katanya.

Katanya, penyanyi generasi baru juga kalau diamati ada cara nyanyian yang boleh dijadikan ilmu baru.

“Penyanyi generasi baru ada cara nyanyian mereka tersendiri. Untuk disesuaikan dengan zaman, saya juga belajar dan mengadaptasi cara nyanyian mengikut peredaran masa.

“Kalau ditanya penyanyi muda yang bagi saya punya kemampuan vokal yang bagus, sudah tentu Ernie Zakri. Lagipun, dia mengajar vokal. Jadi cara nyanyiannya sangat hebat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 7:00 AM