GENG Plastik Hitam terus menjadikan beberapa restoran mamak sekitar ibu kota sebagai lokasi untuk mendapatkan bekalan makanan. FOTO Abdullah Yusof
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bulan Ramadan sudah kian menghampiri noktah namun golongan kaki ponteng puasa atau dikenali Geng Plastik Hitam terus menjadikan beberapa restoran mamak sekitar ibu kota sebagai lokasi untuk mendapatkan bekalan makanan.

Tinjauan wartawan Harian Metro semalam, mendapati pelbagai gelagat kaki ponteng puasa dapat dilihat di beberapa restoran sekitar Bangsar, Cheras dan Gombak sekitar jam 11 pagi hingga 2 petang.

Sepanjang tempoh tiga jam pemantauan, terdapat kira-kira 50 individu yang kebanyakannya lelaki muncul membeli bungkusan nasi di salah sebuah restoran terletak di Bangsar di sini.

Turut mencuri perhatian wartawan apabila kaki ponteng puasa ini berkumpul di hadapan premis dan menggunakan bahasa isyarat yang hanya difahami peniaga untuk memilih lauk dijual.

Kebanyakan mereka ini dilihat berlakon seolah-olah sedang menunggu kenalan di kaki lima premis serta berbual menggunakan telefon pintar.

Kebanyakan mereka kemudian bergegas meninggalkan pemis sama ada menaiki kereta atau menunggang motosikal sejurus menerima bungkusan nasi daripada pekerja premis.

Seorang eksekutif syarikat yang mahu dikenali sebagai Muhd Khairie Muhd Nasir, 41 berkata, dia meluat apabila melihat gelagat kaki ponteng puasa berkeliaran membeli nasi bungkus atau minuman di kedai mamak berhampiran pejabatnya itu.

“Mereka ini kebiasaannya muncul menaiki motosikal sebelum membungkus makanan.

“Malah ada antara mereka dengan selamba makan di kedai berkenaan tanpa memikirkan soal sensitiviti umat Islam yang lain. Soal dosa mungkin tidak langsung difikirkan,”katanya.

Menurutnya, walaupun tindakan serbuan pernah dilakukan pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) namun golongan ini masih tidak serik dan terus muncul di premis berkenaan.

“Mereka ini memalukan umat Islam. Mungkin mereka mempunyai alasan untuk tidak berpuasa tetapi mereka perlu hormat orang lain yang berpuasa. Malah ini memberi gambaran tidak baik kepada orang bukan Islam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 9:12 AM