TINJAUAN penjualan bunga api dan mercun sekitar Pasar Chow Kit. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Garret Dawum
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Meskipun sudah ramai yang dikenakan tindakan masih ada penjual yang berdegil apabila dikesan menjual mercun di kawasan terbuka tanpa berasa risau dicekup pihak berkuasa.

Tinjauan Harian Metro mendapati antara lokasi kerap menjadi pilihan penjual mercun berkenaan adalah di bazar Ramadan sekitar ibu kota seperti Chow Kit dan Masjid Jamek.

Peniaga bukan setakat menawarkan bunga api sebaliknya mercun diklasifikasikan berbahaya iaitu mercun bola dan ketupat pada harga serendah 30 sen hingga RM100.

Seorang peniaga yang enggan dikenali ketika ditemui mendakwa, dia tidak berdepan sebarang masalah untuk mendapatkan bekalan mercun dan bunga api berkenaan.

“Dulu anak saya yang jual. Sekarang, saya pula yang teruskan jualan mercun dan bunga api sementara mendapat satu tapak gerai untuk jualan pakaian.

“Kita ada tempat untuk dapatkan stok. Lagi pun, jualan di kawasan ini sangat memberangsangkan kerana permintaan amat tinggi,” katanya.


LAMBAKAN gerai menjual bunga api dan mercun. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Sementara itu, seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman berkata, jualan mercun dan bunga api sangat laris terutama menjelang Aidilfitri.

Dia yang dipercayai warga asing berdasarkan kepada pertuturannya berkata, mercun naga dan roket paling banyak mendapat permintaan tetapi dia hanya akan bawanya ke gerai jika ada permintaan daripada pelanggan saja.

“Perniagaan okey (bagus) saja. Saya tidak mempamerkan mercun yang dianggap berbahaya dan hanya menjual bunga api serta mercun jenis lain sahaja.

“Kalau diikutkan harga mercun juga lebih tinggi berbanding bunga api. Jadi untung lebih banyak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 9:26 AM