GAMBAR hiasan
Shahrul Nizam Mohamad
cnews@nstp.com.my


KANAK-KANAK lelaki maut selepas dikelar ibunya di FELDA Jengka, dekat Maran, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, suspek dipercayai mengalami halusinasi sebelum mengelar leher anak lelakinya berusia dua tahun itu.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek tidak mempunyai masalah atau rekod mengalami gangguan mental. Kami dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira 10 malam tadi oleh kakitangan Hospital Jengka yang menghubungi Balai Polis Bandar Pusat Jengka.

"Sebaik menerima maklumat, sepasukan pegawai dan anggota kami serta dibantu Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikejarkan ke lokasi kejadian iaitu rumah keluarga terbabit bagi tujuan pemeriksaan dan siasatan awal," katanya dalam satu kenyataan media, malam tadi.

Othman berkata, suspek yang juga ibu mangsa berusia 31 tahun sudah ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, mangsa adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan pihak pegawai perubatan mengesahkan punca kematian disebabkan kesan kelar pada bahagian leher.

"Kita juga sudah merekodkan keterangan bapa mangsa dan berdasarkan maklumat diberikan, suspek dikatakan membawa mangsa ke bahagian dapur rumah mereka sebelum mengelar leher mangsa menggunakan pisau.

"Bapa mangsa sempat menolak suspek sebelum membawa mangsa ke Hospital Jengka bagi pemeriksaan.

"Namun, mangsa disahkan sudah meninggal dunia sebaik tiba di hospital terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 1:47 AM