KENDERAAN yang remuk teruk dalam kemalangan Kilometer 55 Jalan Gua Musang - Kuala Krai, dekat Gua Musang, semalam sehingga mengorbankan tiga nyawa. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


TIGA beranak maut dan empat cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan kereta Proton Saga dan Proton Wira di Kilometer 55 Jalan Gua Musang - Kuala Krai, dekat Gua Musang, semalam.

Mangsa yang maut di tempat kejadian, penumpang kereta Proton Saga, Ibrahim Mat Rifin, 61, isterinya, Mahani Mohd Nasir, 58.

Manakala seorang lagi mangsa yang juga anak suami isteri itu, Rosinasi Ibrahim, 35, disahkan meninggal dunia di Hospital Gua Musang (HGM) selepas 12 jam menerima rawatan.

Sementara itu, empat lagi yang cedera termasuk pemandu Proton Saga, Nur Farain, 26; pemandu kereta Proton Wira, Mohamad Faris Junuh, 22; dan dua penumpangnya; Muhamad Nurazman Nordin, 19; dan Mohamad Izaman Mohd Zulkifli, 21, dibawa ke HGM untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, kereta Proton Saga dalam perjalanan dari arah Kuala Krai ke Gua Musang.

Beliau berkata, sabaik tiba di lokasi, kereta dinaiki sekeluarga itu cuba memotong kenderaan lain lalu bertembung dengan Proton Wira itu dari arah bertentangan.

Katanya, kedua-dua kereta itu remuk teruk menyebabkan suami isteri yang parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Seorang anak mereka, Rosinani turut parah di kepala dan badan meninggal dunia 5.15 pagi ini di HGM selepas 12 jam kejadian," katanya.

Mohd Taufik menyifatkan kemalangan itu paling teruk musim perayaan Aidilfitri kali ini dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu itu sendiri yang juga anak mangsa.

Beliau berkata, tiga mangsa yang maut itu berasal dari kawasan perindustrian Semambu, Kuantan manakala tiga sahabat yang parah itu tinggal di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Paloh 1, Gua Musang.

Mayat mangsa dihantar ke HGM untuk bedah siasat dan kemalangan itu di siasat dibawah Sek.41(1) APJ 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 12:10 PM