Firdaus Hashim

PEMAIN cilik negara, Mohammad Haykal Danish mencipta gempar di bumi Eropah apabila ledakannya pada babak kedua membantu Paris Saint-Germain (PSG) Bawah 13 tahun (B-13) menang 3-0 ke atas kelab utama Itali, Cesena FC, awal pagi hari ini.

Haykal, 13, antara tiga tonggak Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) yang dijemput oleh kelab dari Ligue 1, Perancis untuk beraksi di Kejohanan Antarabangsa V Memorial Giuseppe Augello di Rome, Itali.

Dalam perlawanan itu, Haykal tenang menggelecek tiga pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan untuk menumbangkan penjaga gol Cesena pada minit ke-37.

Ia adalah jaringan pertama buat anak kelahiran Meru, Klang, itu yang kini turut berada dalam senarai penjaring terbanyak kejohanan.

Mohamad Haykal Danish (kanan) bersama tiga tonggak Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) yang dijemput oleh kelab dari Ligue 1, Perancis untuk beraksi di Kejohanan Antarabangsa V Memorial Giuseppe Augello di Rome, Itali.  FOTO NSTP

Pada mulanya, dia sekadar diletakkan di bangku simpanan bersama penjaga gol negara, Hazriq Haqqim Mohd Izham, ketika seorang lagi anak Malaysia berada dalam kesebelasan utama, Rohisham Haiqal Hashim.

PSG berjaya mendahului 2-0 separuh masa pertama menerusi jaringan pemain gantian, Lemina dan juga tonggak pertahanan, Delest sebelum Haykal menambah derita Cesena dengan gol ketiga.

Persembahan menarik itu dianggap satu permulaan yang baik untuk pemain AMD yang kini mula mendapat perhatian serius kelab ternama Eropah, dengan majoriti daripada mereka melabelkan Haykal sebagai pemain penyerang yang berpotensi besar.

Trio negara sebelum ini melakar sejarah baharu bola sepak tempatan, khasnya di peringkat akar umbi kerana belum pernah mana-mana pemain seusia mereka menerima undangan seperti itu sejak AMD diperkenalkan pada 2014.

Sementara itu, satu lagi kelab yang berada dalam kumpulan C bersama PSG, iaitu AS Roma turut meraih tiga mata selepas menewaskan Atletico Lodigiani 6-4.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 9:43 AM
PAPARAN video yang menunjukkan aksi Mohamad Haykal menjaringkan gol untuk Paris Saint-Germain (PSG). FOTO Ihsan Kejohanan Antarabangsa V Memorial Giuseppe Augello
PAPARAN video yang menunjukkan aksi Mohamad Haykal menjaringkan gol untuk Paris Saint-Germain (PSG). FOTO Ihsan Kejohanan Antarabangsa V Memorial Giuseppe Augello