Syazwan Msar

Pengambilan makanan berlebihan pada musim perayaan adalah antara perkara yang sukar dikawal oleh orang ramai sehingga mengundang kepada obesiti seterusnya mudah dijangkiti penyakit.

Selain dikaitkan dengan faktor pemakanan, ramai pakar berpendapat ia sebenarnya berpunca daripada individu itu sendiri yang kurang berpengetahuan mengenai makanan yang diambil.

Obesiti bukan saja menjejaskan penampilan diri, tetapi mengundang banyak masalah seperti kolesterol tinggi, mudah berasa penat atau mengah, kencing manis, bengkak dan sakit kaki serta perut berlipat.

Masyarakat perlu dididik untuk membiasakan diri menyelidik kandungan sesuatu hidangan sebelum menikmatinya.

Aspek kesihatan dan kecergasan badan sebenarnya berkait rapat dengan pengalaman seseorang itu sendiri dalam menguruskan selera pemakanannya berdasarkan piramid makanan yang betul.

Wartawan SYAZWAN MSAR berkesempatan menemu bual pakar pemakanan dan kecergasan Kevin Zahri bagi berkongsi amalan pemakanan sihat ketika musim perayaan bagi memastikan setiap individu dapat mengekalkan bentuk badan selain mengelak obesiti.

JIKA mahu merasa semua makanan ketika musim perayaan, perlulah lebih berhati-hati dengan mengambil ala kadar saja. Gambar kecil, Kevin Zahri. FOTO Azhar Ramli & Nur Adibah Ahmad Izam
JIKA mahu merasa semua makanan ketika musim perayaan, perlulah lebih berhati-hati dengan mengambil ala kadar saja. Gambar kecil, Kevin Zahri. FOTO Azhar Ramli & Nur Adibah Ahmad Izam

Kebanyakan masyarakat Islam di negara ini akan makan dalam jumlah yang banyak sepanjang Syawal seperti ‘membalas dendam’ selepas sebulan berpuasa. Adakah tindakan berkenaan akan memberi impak negatif? Boleh saudara ulas?

Itu sememangnya tabiat, budaya dan perbuatan lepas geram. Saya sendiri beraya juga namun kalau kita beraya tanpa mengawal kuantiti makanan iaitu lebih tepat lagi makan sehingga lupa diri nanti jadi masalah kepada peningkatan berat badan, sekali gus sukar pula selepas itu untuk menurunkannya.

Mudah saja bagi saya untuk berhadapan dengan masalah berkenaan iaitu ingin makan segalanya tanpa menambah berat badan dengan kita mengehadkan pengambilan makanan iaitu dalam tempoh seminggu hanya dua hari saja boleh makan apa saja dan selebihnya perlu ada kawalan bagi mengelak timbul masalah lain.

Orang ramai juga diingatkan supaya tidak makan apa saja ketika memenuhi undangan rumah terbuka dan lebih baik jika amalkan satu rumah satu hidangan saja.

Setiap kali kita mahu mula menjamah hidangan adalah baik jika mengambil makanan yang mudah mengenyangkan dan mempunyai kandungan karbohidrat, sekali gus menghindari menambah jumlah hidangan.

Sebagai pakar pemakanan yang berpengalaman, boleh terangkan adakah makanan tradisional seperti lemang, rendang dan ketupat selain kuih-muih lain yang dikatakan tidak menyihatkan sekali gus menyumbang kepada penyakit kronik.

Makanan tradisi berkenaan tidaklah menyumbang secara langsung kepada obesiti atau penyakit kronik lain namun menjadi masalah adalah apabila mengambil makanan terbabit dalam kuantiti yang banyak.

 Sebagai contoh apabila saya pergi ke rumah orang pada Aidilfitri, pasti akan mencari lemang, rendang dan beberapa makanan lain namun perlulah mengehadkan kuantiti umpama hanya mengambil karbohidrat segenggam saja.

Selain itu, jika mahu merasa semua makanan ketika musim perayaan, perlulah lebih berhati-hati dengan mengambil ala kadar saja dan perlu diingatkan Aidilfitri bukanlah waktu sesuai untuk berdiet atau mengawal pemakanan secara menyeluruh.

Apakah makanan yang seharusnya dielakkan atau lebih baik tidak diambil pada Aidilfitri kerana mengandungi kandungan kalori atau karbohidrat tinggi?

Pada pandangan peribadi saya tidak perlulah seteruk itu bagi memastikan berat badan tidak bertambah atau makanan berkenaan menyebabkan penyakit kronik kerana dalam program Jom Kurus yang dianjurkan oleh saya sebelum ini penekanan yang diberikan adalah menjalani kehidupan dengan gaya hidup sihat.

Hari raya Aidilfitri seharusnya bergembira dengan merasai pelbagai juadah. Nasihat saya makanlah apa saja yang anda inginkan, tapi seperti saya ingatkan sebelum ini kawal kuantiti makanan selain tidak mengikut hawa nafsu.

Orang ramai juga diingatkan supaya tidak mengambil makanan setiap hari, malah tidak perlulah meletakkan garis panduan sendiri yang agak mengarut sehingga nikmat menyambut Aidilfitri tak dapat dirasai.

 

Boleh terangkan amalan pemakanan buruk yang sering diamalkan oleh sesetengah masyarakat atau lebih tepat lagi boleh mendatangkan keburukan kepada kesihatan jika tidak diubah?

Kebanyakan individu yang mengamalkan diet pasti akan melanggar peraturan ataupun berlakunya ‘penipuan’ dalam amalan diet mereka pada sepanjang musim perayaan.

Namun diingatkan tidaklah perlu gusar ataupun bimbang kerana diet berkenaan boleh diulangi pada waktu lain atau ketika diri sudah bersedia untuk menjalani rutin pemakanan yang ketat.

Pada saya, amalan pemakanan buruk adalah apabila individu berkenaan makan terlalu banyak dan tidak berhenti sebelum tiba waktunya.

Adakah tradisi musim perayaan dengan menghidangkan pelbagai makanan kepada tetamu menyumbang kepada amalan pemakanan tidak sihat?

Saya ingin tekankan jangan salahkan hidangan apabila kita menghadapi masalah kesihatan atau obesiti berdasarkan pengambilan makanan pada musim perayaan.

Semuanya berpunca daripada sikap dan keengganan mendisiplinkan diri dengan mengurangkan makanan tinggi kalori dan mengehadkan jumlah pengambilan makanan.

Tradisi yang diamalkan ini sejak dahulu lagi dan tidak perlulah mengikis atau membuangnya semata-mata berpandangan ia tidak menyihatkan atau mendatangkan kemudaratan pada kesihatan.

 

Apakah pola pemakanan atau diet bersesuaian dengan rakyat di negara ini dalam membentuk amalan pemakanan sihat serta terhindar daripada penyakit kronik?

Senang saja bagi saya iaitu kita perlu makan seperti rakyat Malaysia dan bukannya mencontohi budaya negara lain kerana keadaan persekitaran berbeza.

Saya tidak mempunyai kajian khusus berkaitan corak pemakanan rakyat di negara ini, tapi masalah yang saya kenal pasti adalah kita tidak mampu mengawal jumlah makanan yang diambil.

Orang ramai juga diingatkan supaya mengetahui kuantiti gula, kalori dan karbohidrat yang diambil seterusnya boleh mengawal pengambilan supaya tidak terlebih sehingga menjejaskan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 7:00 AM
Digital NSTP Subscribe