Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my


WANITA warga Indonesia ditahan selepas dipercayai mencampak bayi lelakinya yang baru dilahirkan dari tingkat dua sebuah bangunan di Hentian Kajang, di Kajang, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Mohd Sabri Abdullah berkata, hasil risikan dan maklumat, pihaknya menahan wanita warga Indonesia berusia 20-an di perkarangan Hospital Kajang, 11.30 malam tadi.

“Permohonan reman terhadap suspek dibuat di Hospital Kajang, pagi ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Sabri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.32 petang.

“Siasatan awal mendapati pemilik sebuah restoran di kawasan berkenaan menemui bayi terbabit kira-kira jam 5 petang.

“Sebelum itu, dia mendakwa terdengar bunyi dentuman kuat di belakang restoran berkenaan ketika berada di dapur premis itu sebelum bergegas ke lokasi terbabit.

“Lelaki itu kemudian menemui bayi lelaki dalam kedaaan bogel tetapi masih hidup, di atas tanah,” katanya.

Beliau berkata, pemilik restoran berkenaan kemudian membalut bayi itu dengan kain dan membawanya ke klinik berhampiran.

Berita berkaitan

Tergamak kau campak bayi... [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 12:53 PM