GAMBAR menunjukkan lelaki itu yang menyamar sebagai Perdana Menteri Maghribi (kanan) bergambar bersama cef sambil memegang pinggan yang ditandatanganinya. Gambar kanan, Perdana Menteri Maghribi, Saadeddine Othmani. FOTO Twitter @Ihab8knicks & Reuters
GAMBAR menunjukkan lelaki itu yang menyamar sebagai Perdana Menteri Maghribi (kanan) bergambar bersama cef sambil memegang pinggan yang ditandatanganinya. Gambar kanan, Perdana Menteri Maghribi, Saadeddine Othmani. FOTO Twitter @Ihab8knicks & Reuters
Agensi

Moscow: Seorang lelaki menjadi tular di media sosial di Russia apabila menyamar sebagai Perdana Menteri Maghribi semata-mata untuk makan malam di sebuah restoran popular di Russia.

Lelaki tidak dikenali itu pada mulanya gagal membuat tempahan untuk makan malam bersama keluarganya kerana meja di restoran berkenaan sudah penuh.

Tidak mahu keluarganya kecewa, lelaki itu menghubungi restoran berkenaan beberapa minit kemudian, mendakwa dia Perdana Menteri Maghribi, Saadeddine Othmani.

Pekerja restoran berkenaan yang percaya tetamu penting akan datang ke premis itu segera menyediakan meja VIP untuk lelaki berkenaan.

Maghribi antara pasukan bola sepak yang bertanding di kejohanan Piala Dunia 2018 di Russia sekarang.

Lelaki itu dan keluarganya dilayan secara eksklusif di restoran berkenaan, malah dia juga diminta menandatangani satu pinggan untuk dijadikan kenangan.

Seorang pengguna Twitter @Ihab8knicks memuat naik gambar lelaki itu bersalaman dengan cef yang kelihatan bangga sambil memegang pinggan berkenaan.

Bagaimanapun, pengguna Twitter itu mendedahkan, lelaki berkenaan adalah bapanya, bukannya Perdana Menteri Maghribi yang berusia 61 tahun.

“Bapa saya mahu membuat tempahan di restoran itu tetapi mereka memberitahu semua meja penuh ditempah.

“Beberapa minit kemudian bapa saya menghubungi semula restoran berkenaan dan menyamar sebagai perdana menteri Maghribi.

“Kami akhirnya mendapat meja terbaik di restoran itu dan cef turut meminta bapa saya menandatangani satu pinggan sebelum bergambar dengannya,” katanya.

Gambar itu juga diulang siar berpuluh-puluh ribu kali dan menerima lebih 150,000 ‘like’ di Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 3:33 AM