PEMAIN Korea Selatan meraikan kejayaan menewaskan Jerman 2-0 pada aksi terakhir Kumpulan F di Stadium Kazan Arena biarpun tidak layak ke pusingan 16 terakhir. FOTO AFP
Reuters

KAZAN, Russia: Juara bertahan, Jerman tersingkir daripada Piala Dunia 2018 selepas tewas 0-2 kepada Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan F, malam tadi.

Kekalahan kedua yang dialami skuad kendalian Joachim Low itu menyaksikan mereka menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga tercorot selepas mengumpul tiga mata.

Korea Selatan yang turut meraih tiga mata berada di kedudukan ketiga selepas tewas dalam dua perlawanan awal sebelum ini.

Jaringan pada masa kecederaan daripada Young-Gwon Kim (minit-94) dan Heung-Min Son (96) sudah cukup untuk memastikan Jerman tersingkir awal daripada kejohanan kali ini. 

Sementara itu, Sweden yang tewas kepada Jerman sebelum ini muncul juara kumpulan selepas meraih kemenangan 3-0 ke atas Mexico dalam satu lagi aksi kumpulan itu.

Mexico yang cemerlang dalam dua perlawanan sebelum ini terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua dan mengiringi Sweden ke pusingan 16 terakhir. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 12:29 AM