AZREL Ismail. FOTO Rohanis Shukri.

Nama Azrel Ismail mula dikenali umum apabila wajahnya menghiasi kaca televisyen menerusi drama romantis Syurga Nur sekitar 2015.

Bagaimanapun, hari ini jejaka berusia 34 tahun itu semakin tenggelam dengan kemunculan ramai pelakon baharu sama ada di kaca televisyen atau layar perak sehingga ada yang mengatakan kedudukannya sebagai pelakon mula terancam.

Ditemui di majlis pelancaran Bikin Filem baru-baru ini, Azrel mengakui dia terpaksa bersaing dengan pelakon baharu tetapi tidak berasa tergugat dengan situasi terbabit.

“Melihat keadaan sekarang, industri hiburan Malaysia semakin meriah dengan kebanjiran ramai artis baharu berbakat besar dan ini satu perkembangan yang cukup baik.

“Namun, saya tidak perlu cemas kerana ada beberapa drama yang dijayakan belum ditayangkan. Malah saya percaya drama Cik Sempurna yang baru ditayangkan di TV3 menerusi slot Dahlia dan filem Pulang yang bakal menjengah pawagam pada 26 Julai ini akan menaikkan semula nama saya.

“Saya juga akui salah satu punca nama kurang menyerlah disebabkan kurang liputan media berbanding awal kemunculan dalam industri seni. Bagaimanapun, saya okey kerana perlu memberi ruang supaya peminat tidak jemu,” katanya.

Siapa sangka, pada saat banyak pihak menyangka momentum kerjaya seninya semakin menurun, Azrel sebenarnya masih dihujani tawaran berlakon. Terkini, dia diberi kepercayaan membintangi Bikin Filem yang memulakan penggambaran Ramadan lalu.

“Filem ini memaparkan kisah realiti dilalui penggiat seni tempatan. Saya memegang watak sebagai artis baru yang dilabel pelakon kayu selain dibela ‘sugar mummy’.

“Satu pengalaman menyeronokkan apabila bergandingan dengan ramai pelakon berbakat besar selain penggambaran filem ini berlangsung dengan penuh harmoni,” katanya.

Filem terbitan Resilience Studios arahan M Latiff Zami itu dibintangi Azhan Rani, Scha Alyahya, Erra Fazira, Sherry Alhadad, Mark Adam dan Azhar Sulaiman.


AZREL Ismail. FOTO Rohanis Shukri.

Utamakan disiplin

Barangkali prinsipnya yang mengutamakan soal disiplin smembuatkan ramai jatuh hati. Apa tidaknya, Azrel antara pelakon yang sering mendapat pujian syarikat produksi dan pengarah.

Kata Azrel, dia sedar antara sebab namanya masih mewarnai industri adalah sikapnya yang menepati masa.

Bagaimanapun, dia akui, ramai pendatang baru sekarang tidak memandang serius soal ini kerana terlalu selesa dengan kedudukan yang mereka nikmati.

“Disiplin kunci utama untuk terus kekal relevan dalam industri seni. Saya bersyukur ramai yang mengenali kerana sikap saya yang amat menitikberatkan masa di lokasi penggambaran. Diharapkan apa yang saya buat ini akan terus konsisten.

“Saya akui ada pelakon baru yang saya bekerjasama tidak memandang serius soal masa. Mereka mungkin terlalu selesa apabila kerjaya mereka diuruskan pengurus peribadi namun percayalah kalau kita tidak menjaga disiplin, kerjaya seni tidak akan bertahan lama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 4:04 AM