ANTARA jerat yang dipasang pemburu haram. FOTO NSTP/ Ihsan PERHILITAN
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Teknik kejam apabila ada antara hidupan liar yang dijerat ini putus kaki atau menjadi cacat malah ada antaranya mati akibat kecederaan parah dialami.

Itu antara kesan penggunaan jerat dawai atau jerat kabel besi yang popular dalam kalangan pemburu haram termasuk pemburu nomad warga asing yang menceroboh hutan simpan negara ini.

Jerat buatan sendiri ini dengan kos pembuatan sekitar RM10 setiap satu dikenal pasti sebagai pembunuh utama kepada pelbagai spesies hidupan liar dilindungi di negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, jerat maut itu bukan hanya digunakan untuk menangkap kijang atau rusa malah turut digunakan pemburu haram untuk menjerat harimau, beruang, tapir, kambing gurun dan pelbagai mamalia besar lain.


HAIWAN yang terjerat cedera dan ada yang cacat. FOTO NSTP/ Ihsan PERHILITAN

Menurutnya, ancaman jerat ini antara faktor Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sebelum ini mengisytiharkan tahun 2018 sebagai tahun memerangi jerat.

“Jerat diperbuat daripada dawai atau kabel digunakan pemburu haram untuk menangkap binatang menjadi ancaman utama terhadap hidupan liar sekali gus menyumbang kepada peningkatan kepupusan.

“Jerat ini berupaya menyebabkan kepupusan pelbagai spesies hidupan liar secara drastik kerana ia mendatangkan kecederaan yang serius kepada mangsa dan seterusnya mengakibatkan kematian. Malah ia turut memberi ancaman kepada manusia,” katanya.


HARIMAU bintang yang kudung kakinya selepas terkena jerat. FOTO NSTP/ Ihsan PERHILITAN

Kadir berkata, sepanjang tahun 2013 sehingga 2017, lebih 2,000 jerat dimusnahkan dalam 630 operasi jerat dilakukan pihak PERHILITAN.

“Saya menyifatkan penggunaan jerat ini tindakan yang sangat zalim, kejam dan tidak berperikemanusiaan. Malah ada hidupan liar seperti tapir, harimau dan beruang hampir putus kaki akibat terperangkap pada jerat ini," katanya.

Menurutnya, usaha memerangi jerat adalah kempen berterusan melalui usaha Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) melalui operasi bersepadu pelbagai agensi penguat kuasa.


TAPIR yang mengalami kecederaan di bahagian pergelangn kaki akibat jerat. FOTO NSTP/ Ihsan PERHILITAN

“Antaranya membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga operasi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia, Wildlife Conservation Society (WCS), Malaysia Nature Society (MNS), RIMBA, Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia (PELINDUNG), The Malaysian Conservation Alliance for Tigers (MYCAT) dan Jaringan Pemantau Perdagangan Hidupan Liar (TRAFFIC) Asia Tenggara.

“Kami tidak mahu kehilangan sumber biodiversiti yang pelbagai sehingga menyebabkan ekosistem menjadi tidak stabil, rantaian makanan terputus dan populasi hidupan liar mangsa serta pemangsa tidak stabil.

“Menjadi tanggungjawab PERHILITAN memastikan hidupan liar tidak pupus menjelang tahun 2050 dan untuk generasi akan datang,” katanya.


BERUANG Matahari yang mengalami kecederaan selepas terkena jerat. FOTO NSTP/ Ihsan PERHILITAN

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 7:14 AM