MBAPPE (kanan) lebih menyerlah darpada Messi. FOTO/AFP
AFP

KAZAN, Russia: Bintang remaja sensasi, Kylian Mbappe meledak dua gol dan membuat satu umpanan ketika Perancis kembali membuktikan ketajaman jentera serangan dengan menewaskan Argentina 4-3 sekali gus mara ke suku akhir Piala Dunia.

Ketika aksi di Russia dianggap pentas Piala Dunia terakhir buat jaguh Argentina, Lionel Messi, bintang Paris Saint-Germain berusia 19 tahun, Mbappe lebih mencuri tumpuan pada pertembungan menghiburkan di Arena Kazan itu.

Dua jaringannya menyaksikan dia muncul pemain termuda menjaringkan dua gol dalam perlawanan Piala Dunia sejak legenda Brazil, Pele melakukannya pada 1958.

Sebelum perlawanan, jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli menjanjikan skuad kendaliannya akan menggunakan pendekatan “agresif dan menyerang.”

Begitupun, kebimbangannya mengenai kepantasan yang dimiliki jentera serangan Perancis terbukti apabila Mbappe berlari mengejar bola dari kawasan tengah padang sebelum dia dijatuhkan oleh Marcos Rojo untuk penalti yang disempurnakan Antoine Griezmann.

Sekalipun rakan sepasukan Mbappe di PSG, Angel Di Maria menyamakan kedudukan pada minit ke-41 sebelum Argentina mendahului pada awal babak kedua menerusi tampanan Gabriel Mercado susulan rembatan Messi yang mungkin satu-satunya sumbangan besar bintang Barcelona itu pada perlawanan berkenaan, ia tidak menghalang kebangkitan Perancis.


PEMAIN Perancis meraikan kejayaan membenam Argentina. FOTO/AFP

Selepas pertahanan Benjamin Pavard menyamakan kedudukan menerusi voli mengagumkan pada minit ke-57, dua gol Mbappe pada minit ke-64 dan 68 seakan mematikan semangat Argentina.

Walaupun Perancis berjaya mengawal tekanan selepas mendahului dua gol, mereka begitupun tampak bergelut pada minit-minit terakhir permainan.

Selepas bermati-matian memburu gol, Argentina akhirnya memperoleh gol ketiga pada minit ketiga masa kecederaan menerusi tandukan Sergio Aguero sekali gus menyaksikan Hugo Lloris tewas buat kali ketiga.

Sebagai rekod, kali terakhir Perancis tewas perlawanan Piala Dunia ketika sedang mendahului adalah pada 1982 sewaktu menentang Poland.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 12:53 AM