ERRA Fazira. FOTO Aswadi Alias.
ERRA Fazira. FOTO Aswadi Alias.
Najiy Jefri

Barangkali banyak pihak termasuk peminat tidak sabar untuk melihat pasangan selebriti Erra Fazira dan Shahir disatukan sebagai suami isteri.

Bertemu Erra pada majlis pelancaran produksi terbaharu lakonannya, Bikin Filem baru-baru ini, aktres berusia 44 tahun itu seakan-akan sudah dapat mengagak soalan yang bakal diajukan kepadanya.

Meskipun mengakui berkawan rapat, penyanyi lagu Pasrah ini menjelaskan tiada perkembangan terkini dapat dikongsinya melainkan hubungan mereka masih berjalan dengan baik.

“Tiada sebarang perkembangan terbaru mengenai hubungan kami. Terimalah hakikat ketika ini, kami hanya berkawan.

“Saya tahu pasti ada yang kecewa dengan jawapan ini tetapi percayalah belum ada perbincangan mengenai perkahwinan atau majlis merisik seperti diperkatakan ramai,” katanya.

Erra menjelaskan kunjungan Shahir bersama keluarga ke rumahnya pada 1 Syawal lalu hanya sekadar untuk beraya dan bukan merisik atau bertunang.

Jelasnya, mereka sekeluarga sudah saling mengenali dan tiada masalah untuk bertemu.

“Saya sudah lama kenal keluarganya dan tiada sebarang perbincangan atau majlis merisik berlangsung.

“Mereka hanya datang beraya, malah tiada masakan istimewa pun untuk dia. Hanya juadah raya saja,” katanya sambil ketawa.

Sebelum ini, pelbagai spekulasi membabitkan dua hati ini diperkatakan. Namun sehingga kini tiada sebarang kata putus diberikan terutama apabila Shahir kembali menghilangkan diri selepas acara Akademi Fantasia melabuhkan tirai.

Beralih mengenai kerjaya seni, Erra baru selesai penggambaran Bikin Filem yang turut dibintangi Azrel Ismail, Azhan Rani, Scha Alyahya, Sherry Alhadad, Mark Adam dan Amerul Affendi.

Menerusi filem arahan Mohd Latiff Azmi atau Yeop Hitler ini, Erra memegang watak penerbit filem yang menjadi mangsa poligami bernama Datin Azizah.

“Meskipun filem ini dikatakan kisah benar yang berlaku dalam industri seni, saya tidak tahu siapa gerangannya. Saya sekadar bawa watak sebagai isteri yang menyaksikan suaminya dirampas pelakon.

“Saya tidak rasa watak itu menyindir sesiapa. Mungkin mereka yang mengamalkan poligami akan terasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 7:43 AM