HANIF dan Dayah pilih Kashmir sebagai lokasi bulan madu. FOTO Ehsan Saiful Chin
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Siapa sangka siapa menduga, rakan sepermainan zaman kanak-kanak kini akhirnya menjadi suami.

Begitulah cerita indah yang dilalui pengacara Borak Kopitiam TV3, Dayah Bakar apabila bertemu jodoh dengan Kapten Muhammad Hanif Hamidi.

Pasangan berusia 28 tahun ini selamat diijabkabulkan pada 29 Jun lalu di 9Kedondong, Ampang Hilir, Kuala Lumpur.

Dayah atau nama sebenarnya Nur Hidayah Abu Bakar berkata, Hanif bukanlah asing buatnya kerana mereka pernah tinggal berjiran ketika kecil.

“Bukan setakat rakan sepermainan, kami juga pernah belajar di sekolah sama selama tiga tahun bermula tingkatan satu hingga tingkatan tiga di Sekolah Menengah King George V, Seremban, Negeri Sembilan.

“Apabila dewasa keluarga kami berpindah dan masing-masing ada kehidupan sendiri. Kami hanya berjumpa semula kira-kira lebih setahun lalu.

“Dia memang ada nombor saya dan menghantar mesej bertanya khabar dan kami seterusnya keluar minum,” katanya.

Menurut Dayah, ketika itu belum ada apa-apa perasaan namun sebulan kemudian Hanif memberanikan diri meluahkan perasaannya.

“Kebetulan saya memang tiada teman lelaki biarpun bergelar selebriti. Saya terima dia dan kami bertunang pada 25 November tahun lalu.

“Selepas bertunang, barulah saya berkongsi hubungan kami di media sosial saya,” katanya.

Hanif pula mengakui tertarik mendekati Dayah kerana yakin wanita itu mampu melengkapi hidupnya.

“Saya kenal perwatakan Dayah. Mulanya macam tak yakin juga tetapi apabila jumpa keluarganya dan tengok cara mereka, saya rasa selesa dan keyakinan mula timbul.

“Daripada situ saya mula serius dan buat keputusan melamarnya. Waktu zaman kecil-kecil, Dayah nampak comel di mata saya. Dia mungkin tak suka saya kerana saya agak selekeh.

“Ketentuan takdir menemukan kami semula apabila dewasa dan saya kena berani meluahkan perasaan. Syukur dia setuju untuk serius dan selepas itu kami berjumpa keluarga masing-masing,” katanya.

Dayah mengiakan kata-kata Hanif kerana awalnya kurang menyukai suaminya itu.

“Selepas melihat kesungguhan, keikhlasan dan rasa hormatnya terhadap keluarga buat saya terfikir tentu dia boleh buat perkara sama kepada keluarga saya.

“Inilah ciri-ciri suami yang saya cari dan rugi kalau tak pilih. Karakternya sebagai seorang imam dan ketua keluarga sangat kuat. Ini yang buat saya pilih dia,” katanya.

Pasangan ini memilih Kashmir sebagai lokasi bulan madu kerana ia sudah menjadi hasrat Hanif sejak dulu.

“Saya sendiri terkejut apabila suami pilih Kashmir kerana tak pernah terfikir nak ke sana. Selalunya destinasi bulan madu yang jadi pilihan adalah negara Eropah.

“Tapi ini impian Hanif dan dia anggota tentera. Sudah tentu dia nampak keunikan di Kashmir.

“Saya ikutkan saja kehendaknya. Berkenaan anak pula, kami serahkan kepada rezeki. Begitu juga jantina anak, kami terima dengan hati terbuka,” katanya.

Pasangan ini mengadakan majlis resepsi pada 1 Julai lalu di Cornerstone (IPC), Wisma Selangor Dredging, Ampang, Kuala Lumpur.

Manakala majlis bertandang pula pada 7 Julai ini di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Selepas itu barulah mereka akan berbulan madu ke Kashmir.


SWORD barrel ketika majlis resepsi. FOTO Ehsan Saiful Chin

Hasilkan single Imamku

Dalam pada itu, Dayah tampil dengan single pertama berjudul Imamku beberapa hari sebelum berkahwin.

“Lagu ini hanya dimuat naik di media sosial peribadi dan bukan menerusi medium lain tetapi sambutannya sangat menggalakkan.

“Dalam dua hari sudah mencatat 30,000 tontonan. Lagu ini ciptaan saya sendiri sepenuhnya manakala lirik ditulis bersama abang saya, Rafik Bakar.

“Penghasilan single ini adalah gambaran jiwa saya,” katanya.

Dayah berkata, video muzik lagu ini pula dibuat di Bali, Indonesia dan ia dihasilkan sebagai hadiah buat Hanif.

“Bukan saja hadiah buat suami tetapi lagu ini dihasilkan untuk semua wanita dan mereka yang mendengarnya pasti akan tersentuh.

“Saya sudah lama buat lagu ini dan kebetulan dikeluarkan sebelum saya berkahwin dengan Hanif.

“Sebelum ini dah banyak kali perancangan dibuat untuk dikeluarkan tapi asyik tertangguh. Akhirnya saya buat keputusan keluarkan di media sosial sendiri,” katanya yang belum memikirkan teknik pemasaran seterusnya single ini.

Dayah yang turut terbabit dalam program Sis bersama Heliza Helmi di TV3 bersyukur kerana Hanif memahami kariernya dan mengizinkannya terus aktif dalam seni.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 8:28 AM