TOMMY (dua dari kanan) pada sidang media, hari ini.
Sarah Zulkifli


PIHAK pendakwaan akan mengemukakan lebih banyak pertuduhan berkaitan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), jika terdapat kertas siasatan baharu diberikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam Negara Tommy Thomas yang mengetuai pendakwaan berkata, sebarang tuduhan baharu bergantung pada kertas siasatan yang diterima oleh pihaknya.

“Kes hari ini adalah kertas siasatan pertama yang sampai di meja saya apabila saya mula bertugas sebagai Peguam Negara tiga minggu lalu, dan tidak dinafikan berkemungkinan ada kertas siasatan lagi yang akan dikemukakan SPRM," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas tamat prosiding terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Tommy menegaskan tugas pihaknya mengemukakan pertuduhan, dan bukannya untuk menyiasat kes berkenaan.

"Bagi prosiding hari ini, hanya Najib dituduh empat pertuduhan dan pihak pendakwaan mempunyai prima facie yang akan dibuktikan ketika perbicaraan nanti," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau ‘amat pasti’ akan ada lagi pertuduhan dalam soal 1MDB.

“Ini kerana keseluruhan isu berkenaan berkait dengan skop 1MDB... lebih banyak kertas siasatan dijangkakan daripada SPRM.

“Kita tahu apa yang berlaku sejak lima tahun lalu yang mana berlaku transaksi kewangan secara tersembunyi tetapi dijelaskan dengan kenyataan ringkas tanpa terperinci dalam soal 1MDB.

“Apabila selesai siasatan itu nanti, SPRM boleh mengemukakannya kepada kami untuk tindakan lanjut," katanya.

Apabila ditanya berkaitan dengan ikat jamin yang ditawarkan pihak pendakwaan iaitu sebanyak RM4 juta, Tommy berkata jumlah itu adalah adil.

“Malah, kami amat bermurah hati dengan jumlah jaminan terhadap tertuduh dan tidak membantah prinsip jaminan.

Sebaliknya, hanya membantah jumlah jaminan... kami sangat adil," katanya.

Tommy berkata, pihaknya akan mengemukakan bantahan berhubung 'gag order' yang dikemukakan peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Katanya, 'gag order' atau perintah tegahan yang dipohon itu tidak jelas, malah pihak pembelaan tidak menyatakan asas kepada perintah tegahan itu dipohon.

Menurutnya, gag order yang dibenarkan mahkamah secara sementara itu akan diputuskan pada tarikh pengurusan semula kes itu.

"Kami (pendakwaan) juga terkejut dengan 'perintah tegahan' berkenaan yang berkuat kuasa sehingga 8 Ogos ini.

"Tiada alasan diberikan dan kami akan membantah pada tarikh pengurusan kes itu nanti," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai tarikh perbicaraan bagi empat pertuduhan dihadapi Najib, Tommy berkata, terlalu awal untuk memutuskan tempoh perbicaraan kes.

"Adalah pramatang untuk menetapkan tempoh perbicaraan ketika ini dan pada hari ini ditetapkan untuk sebutan kes itu, iaitu 8 Ogos depan," katanya.

Selain itu, ketika disoal dengan saksi pendakwaan yang akan dipanggil bagi kes ini, Tommy memberitahu terlalu awal untuk didedahkan kepada umum siapa saksi yang akan dipanggil.

Berita berkaitan

Anak Najib bayar ikat jamin

Peguam Najib berkumpul di Langgak Duta

Hari saya berdepan dugaan dunia - Najib

Penyokong Najib berhimpun

Najib mungkin hadapi 10 pertuduhan

Najib bermalam di lokap SPRM

Najib tiba di SPRM Putrajaya

Najib didakwa esok

Najib Razak ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 7:49 PM