LELAKI itu ditimpa dan digigit beruang sebelum diselamatkan penduduk kampung. FOTO News Crunch/SWNS.com
Agensi

New Delhi: Seorang lelaki nyaris maut dibaham beruang yang membunuh sepasang suami isteri sebelum diselamatkan penduduk kampungnya yang memukul mati haiwan liar itu menggunakan kayu.

Baipilli Urvasi, 50, dan suaminya Tirupathi Rao, 55, mati diserang beruang itu di sebuah ladang di perkampungan mereka di Yerramukkam, Andhra Pradesh, India selatan.

Rakaman diambil pada 10 Jun lalu itu menunjukkan, apabila penduduk kampung cuba menyerang beruang itu, ia melawan dan menyerang mereka, tidak ubah seperti babak dalam filem The Revenant dibintangi Leonardo DiCaprio.

Menurut laporan Daily Mail yang memetik media tempatan, haiwan itu dilihat menyerang seorang lelaki dengan menimpanya dan menggigit lengannya.

Tujuh lelaki termasuk empat yang cuba menyelamatkan Baipili serta Rao sebelum itu juga parah dalam kejadian berkenaan.


RAKAMAN menunjukkan seorang penduduk kampung lari daripada beruang itu. FOTO News Crunch/SWNS.com

Penduduk kampung, Ambati Karuna berkata: “Pihak berkuasa langsung tidak berbuat apa-apa untuk mengekang serangan beruang yang semakin meruncing kebelakangan ini.”

Menurut India Express, beruang itu dipercayai tersesat ke dalam ladang gajus, namun sebelum sempat penduduk menghubungi jabatan hidupan liar, haiwan berkenaan menyerang Baipili yang keluar membuang sampah di pinggir kampung. Suaminya terbunuh ketika cuba membantunya.

Penduduk kampung yang berang terus membelasah mati haiwan itu menggunakan batu dan kayu. Mereka yang cedera dibawa ke hospital di Visakhapatnam.

Sementara itu, renjer hutan Arun Prakash memberitahu wartawan, keluarga Baipilli dan Rao akan dibayar pampasan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 9:30 AM