KHALID ketika di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@nstp.com.my


BEKAS Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Datuk Khalid Omar, 58, dijatuhi hukuman penjara 22 tahun enam bulan dan denda RM36 juta oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan pengubahan wang haram dan rasuah antara Mac 2014 hingga 15 Ogos 2016.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu terhadap Khalid selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Tertuduh berdepan 18 pertuduhan, masing-masing lima mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613), manakala 13 tuduhan lagi membabitkan kesalahan rasuah.

Mengikut kelima-lima pertuduhan itu, tertuduh didakwa membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memiliki wang berjumlah RM206,396.16 dalam akaun Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2), RM506,735.92 (Tabung Haji), RM375,200 (wang tunai), RM1.98 juta (Amanah Saham Wawasan 2020) dan RM2.13 juta (Amanah Saham Didik), iaitu kesalahan membabitkan pengubahan wang haram.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 1 September 2015 hingga 15 Ogos 2016 di beberapa lokasi di negeri ini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagi 13 kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) pula, tertuduh didakwa menerima suapan RM196,200 menerusi 13 transaksi daripada lapan syarikat dan individu pada Mac 2014 hingga Ogos 2016 di beberapa lokasi di sekitar negeri ini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 1:51 PM