GAMBAR kenangan Allahyarham Azham (kiri) bersama keluarga ketika menyambut hari lahir, baru-baru ini. FOTO Rasul Azli Samad
Mohd Hilmie Hussin


“DUNIA 'referee' adalah kehidupannya. Itulah segala-galanya sehingga dia pernah menyuarakan hasrat mahu berhenti kerja bagi memberi tumpuan kepada kerjaya pengadil.”

Begitu kata Siti Shafira Razali, 31, isteri kepada pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Azham Zamin, 31, yang maut dalam kebakaran di rumahnya di Taman Desa Idaman 3, Durian Tunggal, Alor Gajah, awal pagi hari ini.

Allahyarham Azham disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka pada jam 4.20 pagi selepas melecur 70 peratus pada anggota badannya.

Siti Shafira berkata, arwah suaminya mempunyai minat mendalam dalam dunia bola sepak, terutama pengadilan.

Menurutnya, kebakaran itu berlaku jam 2 pagi dan dia juga tidak tahu bagaimana ia berlaku.

“Sebelum tidur, saya lihat suami menonton perlawanan bola sepak antara Malaysia menentang Fiji.

“Tetapi, kira-kira jam 2 pagi, saya bangun dan keluar dari bilik lalu melihat bilik ketiga terbakar dan suami berada di dalamnya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Melaka, hari ini.


SITI Shafira. FOTO Rasul Azli Samad

Menurutnya, suaminya seorang yang disenangi kerana sikap yang peramah dan mudah menghulurkan pertolongan.

“Ketika kejadian berlaku saya segera menghubungi polis dan meminta bantuan jiran menghubungi bomba.

“Saya bersama anak, Ammar Aiman, 6, kemudian bergegas menyelamatkan diri ke rumah jiran di hadapan rumah kami untuk meminta pertolongan.

"Jiran dan polis cuba mengeluarkan suami dari terperangkap dalam kebakaran, namun tidak berjaya sehingga dia keluar merangkak dari bilik untuk menyelamatkan diri,” katanya

Siti Shafira berkata, sambutan hari jadi suami dan anaknya menjadi kenangan terakhir buat dirinya.

“Sambutan itu diraikan pada 25 Jun lalu, iaitu hari jadi suami dan anak yang kebetulan jatuh pada tarikh sama,” katanya.


MUHAMMAD Zulfadli Nasir, 27, (kiri) bersama Muhammad Hanif Hassan, 27, (kanan) meninjau keadaan rumah Azham yang maut akibat terperangkap dalam kebakaran di rumahnya di Taman Desa Idaman, Durian Tunggal, Alor Gajah, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, sepasukan 11 anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II Nazri Md Rais dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 2.45 pagi.

Katanya, apabila tiba anggota bomba mendapati kebakaran membabitkan sebuah bilik rumah teres terbakar 100 peratus, manakala ruang tamu pula 10 peratus.

“Anggota bomba berjaya menyelamatkan mangsa yang didapati melecur 70 peratus pada badan dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

“Setakat ini punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Jenazah Allahyarham Azham dijangka dikebumikan di kampung halamannya di Kuala Kangsar, Perak selepas selesai proses bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 6:28 PM