TANIA tidak letak kuantiti tertentu untuk berlakon sepanjang tahun.
Ardini Sophia Sina


Lebih sedekad dalam bidang lakonan, Tania Hudson seolah-olah masih mencari tapak. Malah ada yang menganggap dia pelakon baru.

Namun, situasi itu tidak menjadikan Tania patah semangat. Wanita yang mulai aktif dalam bidang seni sejak berusia 18 tahun ini terus mencari peluang tidak hanya dalam lakonan tetapi juga pengacaraan.

Melihat ada ruang untuk mempamerkan kebolehannya sebagai pengacara, Tania hadir ke uji bakat pengacara program tertentu.

“Sebelum ini, saya memang terfikir untuk menjadi pengacara. Apabila ada peluang, saya terus ambil. Saya akan cuba semua cabang seni dan bersedia menempuh cabaran baru.

“Saya suka melancong dan membaca buku kerana ia memberikan pengetahuan baru. Begitu juga dengan pengacaraan. Orang yang mengacara perlu banyak ilmu, kalau jadi pengacara, kerja itu sekali gus turut memberikan saya pengetahuan baru,” katanya.

Menyukai program travelog, Tania bagaimanapun tidak kisah jika tawaran pengacaran yang datang itu daripada program berbentuk majalah atau dokumentari.

Berlakon dalam filem Abang Long Fadil 2 dan KL Special Force, Tania sama sekali tidak mengehadkan lakonannya ke kuantiti tertentu sepanjang tahun.

Menurut adik Natasha Hudson ini, apa saja yang ditawarkan, dia terima dengan hati terbuka asalkan tidak berlaku pelanggaran jadual.

“Saya terbuka untuk menerima apa saja peluang berlakon. Saya tidak letak had kerana rezeki itu datang secara mengejut. Kita tidak harap pun tapi tiba-tiba muncul.

“Sama seperti Abang Long Fadil 2 dan KL Special Force. Tawaran untuk membintangi filem itu datang tanpa diduga. Kalau ada, saya akan terima dengan hati senang. Kalau tidak ada, saya perlu usaha untuk mencari peluang,” katanya.

Kata orang, mempunyai wajah cantik adalah antara sebab seseorang itu mudah mencari ruang untuk berkembang dalam kerjaya seni. Namun, lain pula pendapat Tania.

Kata pelakon berdarah Melayu dan Australia ini, bakat perkara pertama yang dinilai. Kemudian barulah melihat pada penampilan diri. Persaingan pada masa kini semakin sengit apatah lagi ramai yang cepat dikenali menerusi media sosial.

“Sesiapa saja yang kreatif dan berbakat sekarang ini dapat dilihat menerusi media sosial. Semua berlumba-lumba untuk menunjukkan bakat yang mereka ada.

“Sara rasa, daya kreativiti itu menjadi tarikan utama. Mahu cakap kecantikan, saya rasa ia tidaklah membantu sangat. Orang sekarang melihat bakat. Penampilan itu perkara kedua,” katanya.

Instagram digodam, kerjaya terjejas

April lalu, Instagram Tania yang sudah mempunyai ratusan ribu pengikut digodam individu tidak bertanggungjawab. Malah, akaun itu terus hilang dan tidak dapat dikesan.

Tania terpaksa membuka akaun baru dan kini baru saja mempunyai lebih 4,000 pengikut. Secara peribadi, wanita itu tidak mahu hidupnya dinilai berdasarkan jumlah pengikut mahupun ‘like’. Namun, sebagai selebriti dua perkara itu sangat penting.

“Mula-mula, saya tidak rasa Instagram itu penting sangat pun tetapi, apabila ia digodam barulah saya rasa untuk selebriti ia sangat penting. Ada kesan terhadap kerjaya kerana sekarang ini semuanya dinilai berdasarkan pengikut di laman sosial.

“Jumlah pengikut saya bertambah selepas kejayaan filem Abang Long Fadil 2 dan KL Special Force. Dua filem itu memang sangat membantu tapi sekarang saya kena bermula dari bawah dan perlu muncul dalam karya yang memberi impak,” katanya.

Tania tidak menafikan, tajaan yang selalu diberikan kepada selebriti hampir semuanya dinilai berdasarkan pengikut di Instagram. Kadang-kadang, pemilihan pelakon juga dilihat berdasarkan laman sosial pelakon berkenaan.

Katanya, tidak hanya di Malaysia, di luar negara juga mengambil berat mengenai jumlah pengikut di laman sosial. Ia sebenarnya memudahkan mereka untuk dijadikan duta produk.

“Ramai pengikut maknanya promosi sesebuah produk mahupun karya akan dapat disampaikan dengan meluas. Tidak dinafikan, jumlah pengikut memang penting.

“Mahu atau tidak, semua orang terpaksa mengikuti peredaran zaman. Mak cik berniaga kecil-kecilan pun buka akaun Instagram kerana mahu mempromosikan produk mereka dengan lebih efektif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Julai 2018 @ 8:47 AM