KEADAAN kenderaan terbabit kemalangan itu. Gambar kecil, Mohd Nizam (kiri) dan Noor Hafizah.
Farah Suhaidah Othman dan D J Dolasoh


TIGA sekeluarga serta seorang pemandu lori maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori balak dalam kemalangan di Kilometer 60.6 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, dekat Gerik, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, tiga mangsa yang maut menaiki kereta Proton Saga dikenali sebagai Mohd Nizam Suhaidin, 34; isterinya, Noor Hafizah Ismail, 34 dan anak mereka,

Muhammad Afiq Mohd Nizam, 6.

Turut maut di lokasi kejadian, pemandu lori balak terbabit, Redzuan Abd Ghani, 59.

Seorang lagi lagi anak pasangan yang maut, Nur Hanania Maisara Mohd Nizam berusia dua tahun cedera dan dihantar ke Hospital Gerik untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ismail Che Isa berkata, siasatan awal mendapati lori balak itu dalam perjalanan dari Jeli, Kelantan menghala ke Gerik, manakala kereta dinaiki empat beranak yang berasal dari Machang, Kelantan, itu, dari arah bertentangan.

“Setiba di satu selekoh di lokasi kejadian, treler dipandu lelaki berusia 59 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum berpusing dan terbabas ke laluan bertentangan.

“Berikutan itu, lori berkenaan merempuh kereta mangsa yang berada di laluan berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.48 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik bergegas ke tempat kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati terdapat mangsa yang tersepit dalam kenderaan.

Katanya, setakat jam 8.45 malam ini, operasi pasukan itu di lokasi kejadian masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 8:46 PM