Syamsul Yusof menangis disebabkan jalan cerita Munafik 2. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN/Image Gallery
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PENGARAH terkenal, Syamsul Yusof mengesahkan filem Munafik 2 bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 30 Ogos ini.

Syamsul atau Mohd Syamsul Mohd Yusof, 34, berkata, filem menelan belanja RM2.8 juta itu lebih seram selain memaparkan lebih banyak eleman Islamik dan dakwah berbanding Munafik yang ditayangkan pada 2016.

"Filem itu adalah kesinambungan daripada filem Munafik. Kali ini banyak perkara dikupas dan terjawab daripada yang pertama. Apa boleh dikatakan, Munafik 2 bukan filem seram semata-mata.

"Ketika melakukan proses suntingan, saya menangis sebab jalan cerita filem ini. Apatah lagi, unsur dakwah yang diketengahkan diinspirasikan daripada kisah Nabi dan negara Islam yang ditindas.

"Jadi, menerusi filem ini saya nak penonton merasai ajaran Islam yang dibawa menerusi beberapa watak sedia ada dan karakter baru diperkenalkan," katanya kepada Harian Metro.

Berita baik juga untuk peminat apabila filem ke-10 arahan Syamsul itu juga akan ditayangkan di Indonesia selain tayangan serentak di Singapura dan Brunei.

"Sebelum ini saya pernah umumkan filem ini bakal ditayangkan awal tahun. Apabila ia lambat, ramai mula bertanya terutama peminat di Indonesia.

"Insya-Allah, kalau segalanya berjalan lancar filem ini bakal menemui peminat di sana seminggu selepas tayangan di sini. Cuma, Singapura dan Brunei saja serentak.

"Memandangkan Munafik menjadi filem Melayu tertinggi di dua negara berkenaan, jadi lebih banyak panggung dibuka kali ini. Difahamkan di negara kita pula 130 panggung," katanya.

Filem terbitan Skop Productions itu menampilkan Syamsul sebagai pelakon utama bersama barisan pelakon hebat lain seperti Maya Karin, Datuk Fizz Fairuz, Mawi, Nasir Bilal Khan, Datuk Rahim Razali dan ramai lagi.

Sekali lagi, lagu tema bagi filem itu dinyanyikan Syamsul bersama Mawi berjudul Kerana Dunia hasil ciptaan Syamsul dan lirik ditulis bersama sepupunya, Anwar Faizal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 2:11 PM