Nurul Hidayah Bahaudin


SINDIKET penganjur pesta liar di kondominium menawarkan bayaran RM100 hingga RM200 bagi individu yang mahu mendapatkan keseronokan lebih 12 jam tanpa henti dengan mempromosikan kegiatan itu melalui aplikasi WeChat.

Sindiket itu bukan saja menawarkan dadah, malah pesta berkenaan turut dibekalkan dengan arak dan bebas melakukan seks.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, hasil maklumat dan risikan dilakukan, pihaknya membuat serbuan di dua kondominium berasingan di Jalan Cylon dan Jalan Ampang, Kuala Lumpur, 3 dan 6 Julai lalu.

"Dalam operasi pertama pada 5.45 petang di kondominium di Jalan Cylon, 15 individu berusia 19 hingga 44 tahun ditahan. Daripada jumlah itu, sembilan individu ditahan adalah lelaki termasuk empat lelaki Thailand, manakala enam lagi wanita termasuk dua warga Indonesia.

"Ketika serbuan dilakukan, semua individu berkenaan dalam keadaan khayal dan hasil ujian awal saringan air kencing dilakukan mendapati kesemua mereka positif dadah.

"Pemeriksaan lanjut di dalam kondominium itu menemui kira-kira 4,000 pil eramin 5 dianggarkan bernilai RM60,000, 19 pil ekstasi dan dadah jenis ketamin seberat lebih dua gram," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.


MAZLAN LAzim. FOTO Saddam Yusoff

Mazlan berkata, dalam serbuan kedua di kondominium di Jalan Ampang pada 5.15 petang, pihaknya menahan 53 individu terdiri daripada 29 lelaki dan 24 wanita termasuk seorang remaja perempuan warga Indonesia berusia 14 tahun.

"Pemeriksaan di bilik pertama unit kondominium itu menemui enam lelaki dan tiga wanita berusia 17 hingga 29 tahun selain menemui dadah jenis ganja di dalam bilik berkenaan.

"Hasil pemeriksaan di bilik kedua pula menemui 23 lelaki dan 21 wanita berusia 14 hingga 27 tahun termasuk remaja perempuan warga Indonesia dan merampas 25 pil ekstasi yang ditemui di dalam bilik itu," katanya yang memaklumkan semua individu terbabit positif pelbagai jenis dadah.

Beliau berkata, dalam kedua-dua serbuan itu, pihanya turut berjaya menahan penganjur pesta iaitu lelaki berusia 44 dan 27 tahun.

"Modus operandi sindiket ini adalah mempromosikan kegiatan mereka di WeChat dengan mengenakan bayaran serendah RM100 hingga RM200 bagi sekali penyertaan pesta yang bermula pada tengah hari hingga awal pagi keesokan harinya.

"Malah, penganjur membekalkan dadah dan arak kepada ‘peserta’ selain boleh melakukan seks bebas sepanjang pesta itu dijalankan.

"Pendekatan itu diambil sindiket terbabit bagi membolehkan pembabitan remaja dalam pesta liar itu memandangkan golongan terbabit tidak dibenarkan masuk ke dalam pusat hiburan kerana had umur mereka," katanya.

Katanya, semua suspek direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 39B Akta Berbahaya 1952 dan Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan pesta liar di sekitar ibu kota ini diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi tindakan lanjut.

"Ibu bapa dinasihatkan supaya memantau pergerakan anak-anak agar mereka tidak terjerumus dengan kegiatan tidak bermoral seperti pesta liar," katanya.


GAMBAR hiasan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 3:37 PM