PELANGGAN mabuk (dalam bulatan) di sebuah restoran Korea di Sydney ditinggalkan di tepi jalan. FOTO ILGA
Agensi

Sydney: Sebuah restoran makanan Korea di Sydney, Australia, didenda AU$2,200 (RM1,645) selepas pekerjanya menghumban keluar dua pelanggan wanita mabuk ke tepi jalan.

Menurut pihak berkuasa, kejadian di restoran barbeku itu adalah pelanggaran undang-undang arak paling teruk setakat ini.

Kejadian berlaku apabila sekumpulan tiga wanita minum lapan gelas arak soju Korea dalam tempoh 35 minit sebelum dua daripada mereka pengsan di meja.

BBC melaporkan, pelayan restoran dan pelanggan lain membawa mereka keluar serta ditinggalkan di kaki lima.

Berdasarkan laporan Lembaga Bebas Arak dan Permainan (ILGA), seorang daripada wanita itu muntah ketika diusung keluar.

Wanita terbabit hanya mendapat bantuan perubatan selepas polis rondaan melihat orang ramai berkerumun di restoran Gangnam Station itu.

“Sukar untuk dibayangkan kes paling teruk membabitkan sebuah premis yang gagal melakukan tanggungjawab mencegah salah guna alkohol,” kata wakil ILGA.

The Sydney Morning Herald melaporkan, pihak berkuasa sudah mengambil tindakan kali pertama terhadap pemilik lesen premis terbabit, Sunwha Kim.

Pihak berkuasa turut mencadangkan mengurangkan had beroperasi restoran terbabit dari jam 2 pagi kepada tengah malam.

Ia juga perlu dipastikan mempunyai pengawal keselamatan terlatih dalam mengendalikan perkhidmatan penyediaan alkohol di premis bermula jam 8 malam setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 9:48 AM