NOORAISHAH membersihkan badan suaminya yang koma selepas terbabit kemalangan jalan raya berhampiran stesen LRT Taman Melati, 18 Jun lalu. FOTO NSTP
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: “Kehidupan kami anak-beranak bertukar sekelip mata apabila individu yang menjadi ‘tulang belakang’ kepada keluarga kini terlantar koma akibat terbabit kemalangan.

“Kami sekeluarga hilang sumber pendapatan akibat kekangan kewangan sehingga saya terpaksa mengharapkan ihsan keluarga dan rakan,” kata suri rumah Nooraishah Mailzul, 33.

Nooraishah berkata, suaminya, Khairul Anuar Zainudin, 33, koma berikutan terbabit kemalangan jalan raya berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Melati di sini, pada 18 Jun lalu.

Katanya, setiap hari dia berdoa kepada Allah SWT agar urusan membesarkan empat anak berusia 12 bulan hingga lapan tahun dipermudahkan.

“Mujur ada sedikit wang simpanan milik suami, tetapi saya tak tahu sampai bila kami anak beranak mampu bertahan. Mungkin kami hanya boleh bertahan sebulan sahaja lagi jika mengharapkan wang simpanan suami semata-mata,” katanya.

Dia memberitahu, ketika kejadian Khairul Anuar berkerja sebagai penarik kereta dirempuh ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli sarapan di sebuah kedai berhampiran kediaman mereka.

Akibat rempuhan, katanya, tulang pipi dan rahang Khairul Anuar patah, selain itu doktor turut mengesan darah beku pada kepala suaminya.

“Doktor terpaksa melakukan pembedahan untuk buang tempurung kepala suami bagi mengelakkan jangkitan kuman. Sekarang suami terlantar di rumah dan hanya boleh minum susu saja.

“Setiap minggu saya kena sediakan RM500 untuk beli dua tin susu berharga RM80 setiap tin, lampin pakai buang dan ubat-ubatan,” katanya.

Menurutnya, dugaan dan cabaran dilalui sekarang ini dianggap sebagai sebahagian daripada ujian Allah SWT agar dia menjadi lebih kuat untuk membesarkan anak-anak dan menjaga suami kini terlantar.

“Saya belum fikir lagi untuk mencari pekerjaan dalam masa terdekat ini kerana banyak perkara perlu difikirkan selain itu saya kena jaga suami agar keperluannya tak terabai,” katanya.

Orang ramai mahu membantu meringankan beban boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun CIMB 14410084450526, atas nama Nooraishah Mailzul.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 9:58 AM