SAMPAH bersepah menunjukkan imej negatif kepada pelancong. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penduduk dalam kalangan warga asing di Jalan Chow Kit dan Bukit Bintang, di sini, dikenal pasti sebagai warga kota paling tidak mengamalkan sivik serta menjaga kebersihan.

Golongan itu didakwa kerap membuang sampah di merata tempat dan sesuka hati, sekali gus memberikan gambaran negatif terutama kepada pelancong asing.

Kebanjiran warga asing di kedua-dua kawasan itu dikatakan menjadi punca utama kepada masalah kebersihan apabila ada yang menjadikan kaki lima dan lorong belakang premis sebagai tempat membuang sampah.

Tinjauan Harian Metro bersama penguat kuasa Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di dua kawasan berkenaan mendapati longgokan sampah boleh dilihat memenuhi kaki lima dan lorong belakang premis perniagaan.

Pemandangan menyakitkan mata di Jalan Chow Kit itu boleh dilihat selepas peniaga di kawasan berkenaan menutup premis masing-masing dan tidak membuang sampah secara teratur menyebabkan persekitarannya kotor.

Keadaan sama turut berlaku di Jalan Bukit Bintang apabila sampah bertaburan manakala lorong di belakang premis dijadikan tempat melonggokkan sampah termasuk sisa makanan.

Ironinya, situasi berkenaan sudah berlarutan sejak lima tahun lalu apabila kawasan berkenaan mula dibanjiri warga asing menyebabkan pihak berkuasa tempatan (PBT) terpaksa mengambil inisiatif membersihkannya untuk tempoh 24 jam sehari.


LONGGOKAN sampah - sarap di kawasan sekitar Jalan Chow Kit akibat aktiviti perniagaan. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Timbalan Pengarah Bahagian Alam Sekitar DBKL Norhayati Mat Said berkata, pihaknya terpaksa meningkatkan kekerapan pungutan sampah kepada 56,000 kali setiap bulan di seluruh bandar raya ini termasuk dua kawasan berkenaan.

Norhayati berkata, walaupun pihaknya melakukan operasi hampir setiap hari di kawasan tumpuan berkenaan termasuk mengeluarkan kompaun terhadap individu yang didapati membuang sampah namun situasi berkenaan tetap berulang.

“Pada masa sama, DBKL juga menambah peruntukan sebanyak RM106,000 sebulan bagi memastikan kawasan yang terjejas akibat pembuangan sampah dibersihkan.

“Penguatkuasaan dan pembersihan sudah dilakukan namun pihak berkaitan terutama warga asing tetap membuang sampah sesuka hati terutama pada cuti hujung minggu,” katanya ketika ditemui, di sini.

Menurutnya, DBKL tetap mengambil beberapa langkah proaktif bagi membendung masalah itu termasuk melakukan kempen dan pemantauan secara berterusan.

“Walaupun melihat masalah ini seolah-olah tiada penghujungnya, DBKL tetap komited dalam usaha kami memastikan bandar raya ini bersih, seterusnya mengelak daripada berlaku penularan penyakit berjangkit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 10:42 AM