Deja Moss hadir pada perlantikan JKP di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur. FOTO SOHAIMI
Murni Wan Omar
murni@nstp.com.my


Hulu Klang: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini menetapkan 24 September ini untuk Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dilantik oleh penyanyi, Deja Moss dan suaminya Azfendy Azzuddin Ahmad mengemukakan laporan berhubung kemelut melanda rumah tangga mereka.

Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin menetapkan tarikh itu selepas prosiding perlantikan wakil JKP oleh kedua-dua pihak.

Deja Moss atau nama sebenarnya Sharifah Hadijah Wan Mos, 45, melantik rakan baiknya Dr Azuraida Shahadan bagi mewakili dirinya manakala Azfendy Azzuddin melantik abangnya.

Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan terbabit akan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.

Terdahulu, Azfendy yang diwakili peguam syarie, Ahmad Daud mengemukakan bantahan perlantikan Dr Azuraida sbegai JKP atas alasan beliau bukan ahli keluarga tetapi hanya sahabat baik Deja Moss.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa prosiding JKP tidak perlu, sebaliknya boleh terus memulakan proses hakam berikutan anak guamnya sudah lama tidak tinggal sebumbung.

Tambah mereka lagi, talak adalah hak suami dan kuasa yang diberikan oleh Allah.

Sementara itu, peguam syarie Halimatunsa'diah Abu Ahmad berhujah bahawa memang benar talak adalah hak suami bagaimanapun ia datang dengan tanggungjawab yang berat.

“Deja Moss mempunyai hak untuk mengetahui apa yang berlaku. Plaintif sendiri yang keluar dari rumah.

“Walaupun JKP yang dilantik hanya kawan, bagaimanapun beliau tahu apa sebenarnya berlaku dalam kemelut rumah tangga anak guam saya,” katanya.

Hakam adalah wakil kepada suami dan isteri yang dilantik selepas JKP gagal menyelesaikan kemelut rumahtangga pasangan terbabit.

Bagaimanapun, hakam diberi kuasa penuh untuk membuat keputusan sama ada untuk melafazkan talak atau menerima tebus talak jika ia wakil kepada suami manakala wakil bagi isteri berkuasa untuk menerima talak dan membayar tebus talak.

Permohonan cerai secara baik itu difailkan Azfendy pada 5 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Media sebelum ini melaporkan, Deja memberitahu suaminya sudah keluar rumah pada 27 September 2017 dan sejak dari itu mereka tidak lagi berhubung.

Deja dan Azfendy berkahwin pada 30 Ogos 2008 dan tidak dikurniakan anak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 1:16 PM